Peniaga masuk lokap di Filipina

in Nasional by


KUANTAN – Seorang peniaga bukan sahaja kerugian puluhan ribu ringgit malah terpaksa meringkuk dalam lokap di Mindanao Filipina,  kerana terpedaya kenalan Facebook yang kononnya ejen jual beli kayu gaharu liar, di sana.


Lelaki berusia 33 tahun itu berkata, dia dan dua lagi rakan kongsi yang juga saudaranya, bukan sahaja dimasukkan ke lokap selama dua minggu tetapi melalui tempoh tahanan dan tuduhan mahkamah yang panjang dengan pelbagai karenah birokrasi pihak berkuasa.


Mangsa yang ditahan sejak 12 Mei berada di sana sehingga hampir dua bulan, sebelum dibebaskan mahkamah dan dibenarkan kembali ke Malaysia atas bantuan Kedutaan Malaysia di Filipina dan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kuantan, pada 1 Julai lalu.


Berkongsi pengalamannya, peniaga yang mengusahakan produk berasaskan kayu gaharu di Malaysia itu berkata, beliau tertarik dengan tawaran dibuat ejen yang dikenali Noel Patalinhung berkenaan kayu gaharu berkualiti dari negara itu.


“Atas dasar ingin mencuba mutu gaharu dari sana, saya buat carian Argawood Philippine di Facebook dan berkenalan dengan Noel yang mengatakan dia ejen gaharu di sana. Kami membuat temu janji dan pergi ke Kampung Mati di Mindanao pada 3 Mei lepas.


“Noel memperkenalkan saya kepada penjual gaharu dan kami membuat pembelian dengan membayar secara tunai. Selepas urusan jual beli selesai kami balik ke hotel dan kira kira jam 9.30 malam, pihak berkuasa tempatan termasuk jabatan hutan dan imigresen negara berkenaan telah menyerbu dan menangkap kami,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Pusat Khidmat Rakyat, semalam.


Hadir sama Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]