Penyokong Umno disaran cari bahtera baharu

in Edisi by


RANTAU PANJANG – Pemimpin dan penyokong Umno dinasihatkan mencari bahtera (parti) baharu memandangkan bahtera sedia ada tidak selamat dilayarkan selepas karam pada PRU14 lalu.


Presiden Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan, Razak Abas berkata, mereka boleh memilih sama ada masuk parti lain iaitu PKR, Bersatu mahupun Pas, atau daftar parti baharu.


Menurutnya, ia sebagaimana yang dilakukan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang keluar Umno dan lahirnya Bersatu.


“Ini bukan perkara baru dalam arena politik tanah air, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) pernah buat perkara yang sama dengan parti Semangat 46.


“Tun Mahathir guna formula itu dan lihatlah perancangannya, bukan sahaja diterima rakyat dalam PRU14 malah dilantik sebagai Perdana Menteri buat kali ke-2,” katanya.


Razak berkata, beliau menyokong kenyataan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan apabila menyamakan Umno sebagai bahtera yang mengalami kerosakan di bahagian layar, tiang dan berlubang, hanya menunggu tenang untuk belayar.


Menurutnya, sekiranya Umno disamakan dengan bahtera yang mana ia ditubuhkan pada 1946, kini sudah berusia 72 tahun.


Katanya, bahtera yang lanjut usia tidak lagi sesuai belayar kerana mempunyai nakhoda dan anak kapal yang sama.


Malah katanya, nakhoda baharu yang dipilih menggantikan nakhoda lama juga tidak jauh berbeza.


“Siapa sebenarnya yang merosakkan bahtera itu, sampai karam dan tidak lagi diterima rakyat?


“Baiklah mereka pilih bahtera baharu atau bina bahtera lain untuk bawa misi serta visi yang dipegang selama ini,” katanya.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]