PTPTN meraikan Sabahat PTPTN Johor

in Nasional by


PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Johor meraikan Sahabat PTPTN dan pelanggan dalam satu Majlis Sambutan Aidilfitri yang diadakan, di sini, Ahad lalu.


Majlis yang dimeriahkan kira-kira 500 pengunjung itu turut membawa agenda utamanya iaitu sebagai tanda terima kasih kepada agensi kerajaan dan swasta yang telah memberikan kerjasama terbaik bersama PTPTN menerusi Program Sahabat PTPTN.


Mengulas mengenai inisiatif tersebut, Pengurus Besar Negeri PTPTN Johor, Muhammad Faizal Adnan berkata, Sahabat PTPTN adalah kolaborasi strategik yang dilakukan agensi terbabit bersama pihak kerajaan atau swasta untuk tujuan melaksanakan bayaran balik pinjaman melalui cara yang lebih relevan.


Katanya, ia turut membabitkan pembukaan akaun dan penambahan deposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) melalui potongan gaji yang dalam masa sama menerima pelbagai manfaat tambahan.


“Antara manfaat program yang kita boleh lihat daripada Sahabat PTPTN kepada majikan yang menguruskan potongan gaji untuk bayaran balik pinjaman akan diberikan komisyen sebanyak RM10 bagi setiap potongan yang berjaya secara one off. Manakala RM2 secara one off untuk pembukaan akaun SSPN dan RM0.50 untuk potongan gaji bulanan penambahan deposit SSPN.


“Sehingga kini, sejumlah 4,358 agensi kerajaan dan swasta telah menyertai program Sahabat PTPTN dan daripada jumlah itu sebanyak 619 adalah di bawah seliaan PTPTN Negeri Johor.


“Untuk Johor sahaja, sehingga Mei 2018 lalu, kita telah merekodkan sebanyak RM52,974 telah dibayar kepada semua Sahabat PTPTN Johor. Komisyen yang diterima juga merupakan sumber kewangan tambahan kepada mereka,” katanya.


Untuk itu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor telah dinobatkan sebagai Sahabat PTPTN terbaik negeri 2017 kerana telah bekerjasama melalui penyaluran Insentif Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) yang disalurkan ke dalam Akaun SSPN dan berikan usaha sewajarnya untuk sambut baik inisiatif berkenaan.


Beliau juga sarankan agensi Kerajaan Negeri Johor lain boleh ikut contoh JPN Johor dengan menyalurkan Insentif Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) agensi masing-masing dengan bentuk Akaun SSPN.


Muhammad Faizal berkata, kakitangan kepada Sahabat PTPTN Johor juga turut menerima manfaatnya apabila mereka boleh memperoleh potongan diskaun bayaran balik sehingga mencecah 20 peratus daripada nilai hutang pinjaman.


“Peminjam PTPTN yang membuat bayaran balik secara konsisten melalui potongan gaji atau direct debit akan menikmati keistimewaan insentif diskaun bayaran balik pinjaman sebanyak 10 peratus selain 20 peratus bagi bayaran balik dilangsaikan sepenuhnya dalam tahun 2018.


“Peminjam juga dapat menunaikan tanggungjawab membayar balik pinjaman PTPTN dan merancangn tabungan pendidikan untuk masa hadapan anak mereka melalui SSPN dengan mudah dan konsisten.


“Sekiranya perkara itu dilakukan, pendeposit SSPN pula layak menikmati pelbagai keistimewaan SSPN yang ditawarkan antaranya pelepasan taksiran cukai pendapatan simpanan bersih tahun semasa sehingga RM12,000 setahun, perlindungan takaful sehingga RM1 juta dan sebagainya bagi simpanan dalam Akaun SSPN-i Plus.” katanya.


Sehubungan itu, pihaknya melihat usaha yang disertai kesemua agensi terbabit merupakan sesuatu yang membawa manfaat kepada masyarakat serta generasi baharu di negera ini.


Pada majlis itu, PTPTN  Johor dengan kolaborasi tiga Sahabat PTPTN turut menyalurkan sumbangan berbentuk akaun SSPN kepada 15 pelajar anak yatim penerima Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang terpilih di sekitar daerah ini.


Kesemua pelajar itu terima wang simpanan SSPN RM100 dengan tambahan RM40 sebagai wang duit raya sempena sambutan Aidilfitri yang diadakan.


Turut diadakan, pertandingan cabutan bertuah yang terbuka kepada pelanggan PTPTN dan pendeposit SSPN yang hadir.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]