Serah laporan pemantauan PRU14 kepada ahli Parlimen

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Pemantau akan menyerahkan laporan pemantau PRU14 kepada setiap ahli Parlimen pada sidang Dewan Rakyat yang akan bermula minggu hadapan.


Pemangku Pengerusi Bersih 2.0, Shahrul Aman Mohd Saari berkata, ahli Parlimen perlu tahu isi kandungan laporan tersebut sekali gus mampu membawa perubahan dalam pilihan raya akan datang.


Menurutnya, dalam laporan tersebut turut dimuatkan saranan jangka pendek dan panjang oleh pihak pemantau kepada kerajaan.


“Kita juga mengharapkan kerajaan akan melihat laporan ini. Kami juga ada muatkan beberapa saranan antaranya memastikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ditambah baik dari segi kepimpinan dan perkara-perkara lain.


“Kami harap dengan laporan tersebut, ahli Parlimen dapat mengambil iktibar dan membawa perubahan dalam sistem pilihan raya akan datang,” katanya.


Namun, kata Sharul Aman, pihaknya tidak mengharapkan perubahan segera dapat dilakukan kerana memahami terutama membabitkan pindaan perlembagaan dan kajian yang mengambil masa lama.


“Hasratnya ialah kuasa yang lebih kuat kepada rakyat memilih kepimpinan yang mampu membawa negara ke arah yang lebih baik dapat dicapai satu hari nanti.


“Tetapi saya yakin ia dapat dicapai memandangkan respons diterima daripada SPR. Sebagai contoh langkah positif daripada pihak SPR apabila menjemput Pemantau untuk menjadi pemerhati dalam PRK Sungai Kandis nanti,” katanya.


Dalam laporan setebal 114 muka surat itu, turut dimuatkan jumlah aduan yang diterima pihak Pemantau pilihan raya dengan masalah pada hari pengundian mencatatkan angkat tertinggi dengan 274 kes, disusuli penyelewengan dalam pengundian awal dan pengundian pos dengan 200 kes dan pemberian hadiah dan sumbangan pada pengundi dengan 196 kes.


Turut tidak terkecuali penggunaan aset kerajaan sebanyak 105 kes dan rasuah serta membeli undi dengan 46 kes.


Laporan tersebut dihasilkan Pemantau yang terdiri daripada Bersih 2.0, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan Pusat Komunikasi Masyarakat (Komas).


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]