Sistem sokongan keluarga terhakis faktor kes dera meningkat

in Uncategorized by


TAIPING – Sistem sokongan keluarga semakin terhakis faktor utama berlaku peningkatan kes penderaan kanak-kanak dan keganasan rumah tangga di negara ini terutama di kawasan bandar.


Selain itu, Jabatan Kesihatan Perak turut menjangkakan lebih banyak kes melibatkan penderaan kanak-kanak dan keganasan rumah tangga tidak dilaporkan ahli keluarga dan masyarakat setempat atas pelbagai alasan.


Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Negeri, Dr K B Venugopalan berkata, selain faktor di atas, penderaan turut berlaku kerana beberapa faktor seperti kedudukan ekonomi, keluarga besar dan institusi keluarga yang tidak kukuh.


Menurutnya, dewasa kini, masyarakat setempat seharusnya lebih peka bukan sahaja menjaga keselamatan anak sendiri, malah perlu turut mengambil perhatian keselamatan kanak-kanak lain.


“Sekiranya kita syak ada kanak-kanak di kawasan kejiranan kita disyaki didera ahli keluarga mereka, kita harus melaporkan kes itu kepada pihak berkuasa dengan segera tanpa perasaan was-was.


“Dengan cara ini, kita akan dapat membantu menghindarkan kes itu daripada sebarang implikasi lebih buruk seperti kematian, kecederaan parah dan sebagainya.


“Kalau kita baca berita kes penderaan yang dipaparkan media, kita dapati kes itu sudah berlaku berminggu-minggu, bahkan ada yang bertahun…Mungkin kita tersilap lapor tidak apa, lebih baik kita pastikan keselamatan kanak-kanak terjamin daripada bersimpati terhadap kejadian malang terhadap mereka di kemudian hari,” katanya sewaktu ditemui media pada program Seminar Kes Penderaan Kanak-kanak dan Keganasan Rumahtangga Peringkat Negeri Perak anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Perak di sini, semalam.


Sementara itu, Venugopalan turut menegaskan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perak mendapati terdapat peningkatan pelaporan kes penderaan kanak kanak pada dua tahun kebelakangan ini.


Menurutnya, jika dibandingkan dengan tahun tahun sebelumnya, sebanyak 469 kes dilaporkan pada tahun 2016 dan meningkat kepada 453 kes pada tahun 2017, berbanding hanya 271 kes dilaporkan pada tahun 2015.


Beliau berkata majoriti kes tersebut adalah melibatkan kanak kanak perempuan dan berkaitan penderaan seksual dan juga pengabaian.


“Bagi kategori pendera, teman lelaki kepada ibu atau wanita merupakan kumpulan yang utama. Diikuti dengan ibu bapa sendiri dan ibu tiri dan lokasi kejadian dilaporkan adalah di rumah.


“Bagaimanapun, masih lagi terdapat kes-kes yang tidak dilaporkan malahan kes-kes tersebut boleh menjadi penyumbang terbesar kes penderaan kanak-kanak atau keganasan rumah tangga.


“Antara faktor utama yang dikenal pasti adalah perbalahan keluarga serta pengabaian dan kecuaian ibu bapa atau penjaga seperti kejadian kanak-kanak ditinggalkan tanpa pengawasan, ditinggalkan dalam kereta, terjatuh dari eskalator, terjatuh dari bangunan dan membiarkan kanak-kanak keluar ke kedai untuk membeli barang keperluan bersendirian,” katanya.


Venugopalan berkata, masyarakat diminta prihatin dengan melaporkan sebarang kes penderaan terhadap kanak-kanak dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan polis.


Menurutnya,dengan adanya kemajuan IT yang pesat, masyarakat sering kali dapat melihat gambar-gambar, menonton video rakaman atau tularan kes penderaan kanak-kanak di media-media sosial seperti Facebook, Instagram, dan berbagai bagai saluran lagi.


“Ternyata masyarakat cukup keliru dan risau dengan masalah sosial ini yang dilihat begitu kuat mencengkam masyarakat kita.


“Keliru kerana tidak pasti apa punca sebenar masalah ini dan risau kerana kes penderaan semakin meningkat,”katanya.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]