Tutup jika perlu: Abdul Aziz

in Uncategorized by


IPOH – Tindakan menutup sementara Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJK) (T) Kampung Columbia, Ayer Tawar boleh dilakukan sekiranya ada keperluan untuk siasatan.


Exco Kerajaan Negeri, Dr Abdul Aziz Bari berkata, langkah itu dianggap wajar kerana ia melibatkan isu kesihatan dan keselamatan pelajar.


Bagaimanapun menurutnya, ketetapan itu harus dibuat berdasarkan perbincangan secara bersama jabatan berkaitan dengan mengambil kira semua aspek.


“Jika langkah penutupan sementara itu hanya satu cara penyelesaiannya, maka kita kena pertimbangkan dan teruskan, kita tidak mahu ia menjadi satu masalah lebih teruk.


“Untuk jangka masa panjang, harus ada pelan dan pilihan-pilihan tindakan lain, banyak perkara perlu dipertimbangkan, kita tak boleh buat keputusan untuk menutup terus sekolah ini,” katanya kepada Sinar Harian.


Beliau berkata demikian bagi mengulas gesaan Exco Kesihatan, Hal Ehwal Penguna, Masyarakat Sivil, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia, A Sivanesan agar Kementerian Pendidikan


memindahkan sekolah berkenaan berikutan kebimbangan risiko kencing tikus.


Sekolah yang menempatkan 60 murid dan 10 guru itu diperiksa Jabatan Kesihatan, 5 Julai lalu dan mendapati menjadi tempat pembiakan tikus.


Abdul Aziz berkata, jika proses penutupan itu dipersetujui, kerajaan negeri sedia bekerjasama mencari bangunan untuk dijadikan kelas sementara.


“Apa juga tindakan nak diambil, perlu dibincangkan dengan lebih lanjut,” katanya.


Sementara itu, Pengarah Pendidikan Perak, Datuk Mat Lazim Idris berkata, pihaknya telah mengarahkan satu siasatan terperinci dijalankan berhubung isu itu.


“Jabatan Pendidikan dan Pejabat Pendidikan Daerah telah diminta mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]