Umno berpeluang menang PRK

in Uncategorized by


TELUK INTAN – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Kandis dijangka menarik apabila Umno menjadi pembangkang buat kali pertama untuk berebut kerusi berkenaan 4 Ogos ini.


Veteran dan juga bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, Harapan yang menjadi kerajaan memerintah selepas PRU14 Mei lalu dilihat masih belum memenuhi janji-janji mereka yang dibuat ketika berkempen.


“Harapan baru sahaja menang PRU tak bermakna kita tak ada peluang menang dalam PRK kerana kita ada banyak modal isu yang boleh diketengahkan di kalangan penduduk sana.


“Isu-isu ini menunjukkan kelemahan Harapan yang baru sahaja menang tapi sudah serius dan kritikal yang boleh menyebabkan pengundi di sana tidak senang hati,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Ahli Parlimen Kepada Bakal Jemaah Haji Parlimen Pasir Salak, di Chenderong Balai, pagi tadi.


Tambahnya, janji Harapan untuk menurunkan harga barang dan petrol misalnya merupakan antara isu yang boleh dimainkan pembangkang untuk meraih undi daripada pengundi Dun Sungai Kandis selepas janji berkenaan masih belum ditepati hingga hari ini.


“Untuk pengundi Melayu ancaman kepada institusi raja, hak orang Melayu antara isu yang boleh dibawa kepada pengundi di sana tetapi jika pengundi sana masih tidak sedar juga tak tahu lah saya.


“Untuk pengundi bukan Melayu pula mereka perlu sedar Harapan sejak menjadi pemerintah apa yang mereka buat untuk tunaikan janji, turun kos hidup barang masih mahal, petrol pun tak turun,” katanya.


Katanya lagi, Harapan berjanji sehari selepas mereka memenangi PRU14 semua itu akan dilakukan tetapi hingga hari ini ia masih sama dan rakyat perlu sedar mengenai perkara tersebut.


Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai siapa calon Umno yang layak serta cadangan menggunakan logo parti berkenaan untuk PRK Dun Sungai Kandis, Tajuddin memaklumkan hal demikian perlu dikaji terlebih dahulu.


“Ada pro dan contra, perkara ini mesti dikaji. Bagi saya tak ada masalah sekiranya penggunaan logo Umno, calon Umno membawa kelebihan kepada kita menghadapi pengguna apa salah kita gunakannya untuk bertanding.


“Namun apa yang penting sekali ialah strategi kita kena betul dari segi pemilihan calon penggunaan logo, serta pertandingan dua penjuru dan semua ini perlu dikaji lebih mendalam,” katanya.


Menurut Tajuddin lagi, pertandingan dua penjuru dilihat bakal memberikan saingan sengit kepada PKR bagi mengekalkan kemenangan mereka di Dun berkenaan sekiranya barisan parti pembangkang bersetuju meletakkan seorang calon.


Kerusi Dun Sungai Kandis kosong susulan penyandang kerusi berkenaan Mat Shuhaimi Shafiei daripada PKR meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas dan Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 4 Ogos sebagai hari pengundian manakala hari penamaan calon pada 21 Julai ini.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]