Isu provokasi bola: Syed Saddiq bertemu Imam Nahrawi

in Nasional by


JAKARTA – Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdu Rahman semalam telah mengadakan pertemuan denganĀ  Menteri Belia dan Sukan Indonesia, Imam Nahrawi bagi membincangkan perkara berbangkit berhubung isu sukan dua negara.


Dalam pertemuan itu, Syed Saddiq berkata, antara perkara yang dibincangkan adalah mengenai isu keselamatan atlet negara, rentetan insiden provokasi penonton Indonesia terhadap pemain bola sepak negara bawah 19 tahun baru-baru ini.


Syed Saddiq berkata, Imam Nahrawi dalam kenyataanya menjelaskan dalam insiden itu, pihak yang terlibat akan diambil tindakan tegas.


“Siapa pun, sesama atlet harus saling bersikap profesional. Saya harap Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) harus bertindak tegas, profesional, dan harus memberikan jaminan keamanan, keselamatan, kepada siapa pun.


“Jaminan ini tidak cuma berkaca dari kasus di Sidorajo, namun semuanya, di Asian Games, di semua perlawanan, pihak berkuasa harus memberikan serta menjamin rasa aman semuanya,” kata Saddiq yang memetik kenyataan Imam Nahrawi.


[ARTIKEL BERKAITAN: ‘Mujur pemain B-19 negara selamat’]


Malam kelmarin penonton Indonesia bertindak menimbulkan kekecohan di stadium, ketika saingan separuh akhir Kejuaraan AFF 2018 Bawah 19 tahun yang menyaksikan Malaysia menewaskan Indonesia menerusi penentuan sepakan penalti 3-2 selepas aksi sebenar terikat 1-1 di Stadium Gelora Delta Sidoarjo.


Dalam pada itu, Saddiq yang lebih mesra dipanggil bro Saddiq berkata, dalam kesempatan itu, Imam Nahrawi turut menyampaikan salam kepada semua peminat bola sepak Malaysia dan mengambil kesempatan memohon maaf atas insiden yang berlaku dan mahukan sukan diraikan bersama dengan penuh semangat.


“Insya-ALLAH selepas ini kami akan sentiasa bekerjasama rapat demi pembangunan sukan dan belia di rantau Asia Tenggara ini.


Saya dan Pak Imam bukan sahaja berkongsi kementerian yang sama malah berkongsi idola yang sama, Datuk Siti Nurhaliza,” katanya.


Dalam jadual Syed Saddiq ke Indonesia, beliau akan menemui Presiden Jokowi pagi tadi dan selepas itu beliau akan terus ke Surabaya bagi memberikan sokongan kepada pasukan bola sepak bawah 19 tahun.


Malaysia bakal berdepan dengan juara dua kali Myanmar (2003 dan 2005) dalam final hari ini.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]