Jangan salah tafsir notis

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


SEREMBAN – Notis meminta orang ramai yang mahu berurusan dengan Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan agar ke Kaunter Laman Informasi tingkat bawah Wisma Negeri bermula Isnin lalu bukan bermaksud menyusahkan rakyat, sebaliknya memastikan sistem lebih tersusun.


Menteri Besar, Aminuddin Harun berkata, perkara tersebut dilaksanakan kerana ada sebahagian daripada mereka hanya mahu mendapatkan borang atau membuat aduan permasalahan setempat.


“Bila segala urusan diletakkan di bahagian bawah lebih mudah kerana ada orang yang datang berjumpa dengan saya adalah kalangan warga emas dan orang kurang upaya (OKU).


“Mereka boleh berurusan dengan pegawai saya sama ada Setiausaha Akhbar, Setiausaha Politik atau Pegawai Khas di tingkat bawah tanpa perlu menunggu lama bermula pada jam 8 pagi hingga 5 petang,” katanya kepada Sinar Harian.


Justeru itu, Aminuddin menafikan dakwaan kononnya beliau tidak mahu berjumpa dengan rakyat atau menyusahkan mereka yang mahu berurusan dengannya.


“Kalau memang ada yang betul-betul perlu berjumpa dengan saya, mereka boleh buat temu janji.


“Saya tak mahu ramai-ramai datang serbu ke pejabat kerana saya pun bukan setiap waktu ada dan ini akan menyusahkan mereka,”katanya.


Sehubungan itu, beliau yang juga Adun Sikamat berharap soal notis itu tidak disalah tafsir kerana sudah semestinya rakyat diutamakan.


“Saya bukannya tak mahu jumpa dengan rakyat, tapi dalam tempoh dua bulan ini saya pula agak sibuk.


“Selepas ini saya akan tetapkan satu hari untuk rakyat berjumpa dengan saya sama ada di Wisma Negeri atau di Pusat Khidmat saya di Sikamat,”katanya.


Mengulas lanjut, beliau berkata, jadualnya sebagai Menteri Besar agak padat berbanding dahulu ketika menjadi Adun sahaja.


“Ada yang kata dulu saya boleh jawab WhatsApp, tapi tidak lagi sekarang.


“Saya harap mereka faham kerana dulu hanya orang Sikamat sahaja yang  mencari saya, tapi sekarang ini lain kerana seluruh Negeri Sembilan cari saya,”katanya.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]