KPN nafi majlis perkahwinan anak dibiayai polis

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamed Fuzi Harun menafikan bahawa pasukan polis membiayai kos perjalanan pegawai tinggi polis dari negara jiran ke majlis perkahwinan anak perempuan beliau pada 1 Julai lalu.


Penafian tersebut sekali gus menolak bayangan yang diberikan oleh portal Sarawak Report melalui laporannya baru-baru ini.


Memetik laporan Star Online, Mohamed Fuzi memaklumkan bahawa hanya rakan sejawatannya dari Brunei menghadiri majlis perkahwinan tersebut.


“Saya menghampiri umur berpencen dan mempunyai simpanan mencukupi untuk belanja perkahwinan anak saya.


“Tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan,” katanya.


Khamis lalu, Sarawak Report memberi bayangan bahawa majlis perkahwinan anak perempuan Mohamed Fuzi yang berlangsung di sebuah hotel telah dibiayai oleh polis.


Sebagai bukti, Sarawak report turut memaparkan kad undangan majlis perkahwinan yang diagihkan kepada beberapa anggota kanan polis di Asia Tenggara yang mana menyediakan tiket penerbangan dua hala serta satu malam penginapan khas untuk menghadiri majlis tersebut. 


Sementara itu, Mohamed Fuzi tidak akan menolak dan mengalu-alukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya mahu menyiasat dakwaan tersebut.


“Tiada wang daripada kerajaan atau PDRM digunakan untuk membayar kos perkahwinan atau perjalanan mana-mana tetamu saya,” katanya yang akan menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Sarawak Report.

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]