Sabah zahir penghargaan atas pelantikan Malanjum

in Edisi Sabah Sarawak by


KOTA KINABALU – Kerajaan negeri Sabah menzahirkan penghargaan kepada Majlis Raja-Raja dan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad atas pemilihan serta pelantikan Tan Sri Richard Malanjum sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu pada Rabu lalu.


Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata pelantikan Malanjum merupakan satu sejarah kepada Negeri Sabah kerana anak tempatan pertama dilantik ke jawatan tertinggi dalam institusi perundangan negara.


“Saya yakin rakyat Malaysia bukan hanya di Sabah, bahkan di Sarawak kami amat menghargai ketetapan dan keputusan yang dibuat oleh Majlis Raja-Raja dan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad.


“Kita tahu bahawa pelantikan itu bukan hanya berlandaskan pengalaman (Malanjum) yang telah lama berkhidmat dalam bidang guaman di negara ini tetapi juga dari segi kedudukan paling kekananan,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.


Beliau yakin pelantikan Malanjum mampu mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap institusi perundangan di Malaysia yang sebelum ini diselubungi pelbagai isu.


Malanjum, bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak menggantikan Tun Md Raus Sharif yang mengemukakan surat peletakan jawatan sebagai Ketua Hakim Negara pada 31 Julai.


Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata soal agama tidak harus dijadikan isu dalam pelantikan Malanjum sebagai Ketua Hakim Negara.


Katanya sebagai seorang peguam yang paling senior dalam institusi itu, pelantikan itu adalah berdasarkan kelayakan dan pengalaman yang dimiliki oleh Malanjum.


“Ini bukan soal agama, apa yang penting ialah prestasi, saya yakin beliau (Malanjum) akan melaksanakan tugasnya  dengan lebih baik,” katanya. – Bernama


Source: SH Edisi Sabah Sarawak

[featured-video-plus]