SJKT Kampung Colombia masih dibuka

in Uncategorized by


MANJUNG – Walaupun terdapat laporan pembiakan tikus di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Kampung Columbia, Ayer Tawar semakin serius, sekolah tersebut masih beroperasi seperti biasa kepada pelajar.


Tinjauan Sinar Harian sekitar jam 11 pagi tadi mendapati beberapa orang pelajar serta guru sedang berada di dalam kelas menjalani sesi kelas tambahan.


Manakala suasana persekitaran sekolah yang menempatkan 60 pelajar bersama 10 guru itu juga bersih dan tenang tanpa ada sebarang masalah mahupun kehadiran mana-mana pihak berkuasa serta ibu bapa selepas ia dicadangkan dipindah demi keselamatan pelajar dan gurunya.


Wartawan Sinar Harian juga sempat berbual dengan pekerja kontrak pembersihan sekolah tersebut yang sedang sibuk melakukan kerja-kerja membersihkan sekolah yang mempunyai dua blok bangunan setingkat.


“Sekolah ini ada 60 pelajar yang tinggal di Ladang Kampung Columbia serta kawasan berhampiran dan ya kami mempunyai masalah tikus yang teruk.


“Kami sedang membersihkan beberapa kawasan di sekolah ini tetapi kalau encik mahu maklumat lanjut encik boleh datang waktu sekolah berjumpa guru besar,” jawabnya ringkas sebelum kembali meneruskan kerjanya.


Sementara itu, wartawan Sinar Harian juga sempat berbual dengan seorang pelajar sekolah tersebut yang tinggal berhampiran dan memaklumkan dia sering melihat tikus di sekolahnya.


“Ada banyak tikus tetapi saya tidak takut cuma budak perempuan sahaja ada yang akan lari sebab takut nampak tikus lalu,” katanya ringkas.


Ditanya sama ada adakah dia yang menuntut di Darjah Lima mahu berpindah sekolah atau tidak dia menjawab tidak mahu kerana sekolah tersebut dekat dengan rumahnya.


“Kalau kena sekolah jauh sedikit susah kerana saya ke sekolah menaiki basikal kadang-kadang jalan kaki kerana dekat dengan rumah,” katanya.


Semalam, Exco Kerajaan Negeri A Sivanesan berkata, sekolah tersebut perlu dipindahkan segera susulan hasil pemeriksaan Jabatan Kesihatan Perak 5 Julai lalu mendapati sekolah itu menjadi tempat pembiakan tikus yang semakin serius.


Katanya lagi, laporan tersebut menemukan kesan gigitan, najis dan bau air kencing tikus di sekitar kawasan sekolah selain sebanyak sepuluh lubang tikus telah dikenal pasti di ruang stor, kelas pantri dan kelas komputer di sekolah berkenaan.


Sementara itu, salah seorang penduduk dikenali sebagai Yenraya, 70, berkata, masalah tikus sering menjadi bualan penduduk kampung di situ ekoran anak-anak mereka akan bercerita mengenainya.


“Ya betul banyak tikus di sekolah dan pelbagai usaha kami lakukan tetapi ia masih ada dan jumlah tersebut bertambah setiap masa dan saya rasa ia kerana sekolah ini dekat ladang kelapa sawit.


“Selain itu terdapat juga pusat ternakan ayam berhampiran sekolah jadi pasti banyak tikus dan tikus selalu datang sekolah dan ia juga bahaya untuk kanak-kanak,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kampung Columbia, pagi tadi.


Ditanya apa dia tahu bahawa ada cadangan memindahkan sekolah tersebut atau tidak, Yenraya berkata semua penduduk sudah maklum perkara tersebut dan ada yang setuju ada yang tidak.


“Jika mahu pindah sekolah mereka mahu bina ia di mana? Bila ia dibina budak-budak mahu sekolah di mana kerana sekolah lain sedikit jauh dari rumah.


“Saya sendiri sering tertanya-tanya apa penyelesaian terbaik buat sekolah dan pelajarnya kerana jika ia tidak dipindahkan tetapi ditutup terus sudah pasti menjadi masalah kepada kami,” katanya.


Tambahnya sekolah tersebut telah beroperasi begitu lama sejak ladang tersebut dibuka dan berharap pihak terlibat berbincang terlebih dahulu dengan ibu bapa pelajar sebelum sebarang kepuusan diambil.


“Saya tahu bahaya jika banyak tikus kerana takut budak-budak dan cikgu sakit tetapi jika mahu dipindahkan ia mahu dipindahkan ke mana dan saya berharap kami dapat keputusan yang baik,” katanya.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]