Tak tahu rakan letak ‘benda’ dalam minuman

in Edisi Selangor KL by


SUBANG JAYA -”Saya tak tahu rakan lelaki ada letak sesuatu dalam minuman kerana hanya datang ke pusat karaoke ni untuk sambut hari jadi kawan,” demikian alasan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang ditahan selepas didapati positif dadah, awal pagi tadi.


Remaja berkenaan antara 21 pengunjung yang ditahan dalam Operasi Bersepadu Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Selangor.


Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Mohd Zulkurnain Che Ali berkata, pihaknya menyerbu dua pusat hiburan di Bandar Sunway dan USJ 19 dalam operasi bermula jam 12 tengah malam.


Menurutnya, hasil pemeriksaan, premis di Bandar Sunway didapati mempunyai lesen perniagaan dan tidak dikenakan tindakan oleh pihaknya.


Bagaimanapun, tangkapan pengunjung yang positif dadah diserahkan kepada pihak AADK.

http://polopoly.karangkraf.com:8080/polopoly/polopoly_fs/1.856150.1531541118!/image/image.jpg
Dua pengunjung lelaki ditahan kerana positif dadah di premis Bandar Sunway


Mohd Zulkurnain memberitahu, serbuan di premis kedua mendapati, ia beroperasi secara haram tanpa kebenaran pihak majlis.


Katanya, pihaknya berdepan kesukaran memasuki pusat karaoke terbabit dan terpaksa memecahkan dua pintu cermin untuk masuk ke premis. Hanya pengunjung tertentu dibenarkan masuk ke dalam premis terbabit sebelum ini.


“Hasil pemeriksaan lanjut kami berjaya kesan laluan rahsia disediakan pengusaha disebalik rak pameran botol minuman keras bagi membolehkan pengunjung melarikan diri sekiranya ada serbuan.


“Premis dikenakan tindakan kompaun di bawah Sek.6(1) Enakmen Hiburan Selangor 1995 (pindaan 2001) kerana mengadakan aktiviti hiburan tanpa lesen dari MPSJ. Pengusaha berdepan denda maksimum sebanyak RM 25,000 manakala peralatan hiburan dirampas,”katanya premis sama pernah diberi lesen sebelum ini namun ditarik balik  kerana melanggar syarat dengan mengadakan aktiviti perjudian.


Sementara itu, Penolong Pengarah AADK Selangor, Mohd Firdaus Bin Abu Bakar berkata, pihaknya menjalankan ujian saringan air kencing terhadap 10 orang di premis pertama yang diserbu.


Katanya, dua didapati positif dadah jenis ganja ditahan manakala yang lain dibebaskan.


Beliau berkata, seramai 23 pengunjung di premis kedua diarah menjalani ujian saringan air kencing.


Daripada jumlah itu, 21 ditahan termasuk tujuh remaja bawah umur yang masih bersekolah kerana didapati positif pelbagai jenis dadah termasuk methamphetamine, MDMA dan amfetamin.


“Kesemua mereka berusia 15 hingga 25 tahun ditahan di bawah Seksyen 3 (1 ) Akta Penagih Dadah 1983 untuk tindakan selanjutnya. Kami akan dapatkan perintah supaya mereka menjalani pemulihan di AADK sama ada dalam institusi atau komuniti,”katanya.


Operasi disertai 38 anggota MPSJ dan 15 anggota AADK Selangor itu berakhir kira-kira jam 2 pagi.




 


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]