Tiga elemen jadi tumpuan presiden baharu FAM

in Sukan by


PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang baharu Datuk Hamidin Mohd Amin menyifatkan tugas baharu yang dipikulnya sebagai satu tanggungjawab berat  dan  menggariskan tiga elemen penting yang bakal diberikan keutamaan dan tumpuan segera.


Katanya, tiga elemen itu ialah menjana sumber dan pembiayaan kewangan FAM, prestasi dan peningkatan  pasukan kebangsaan dan juga program pembangunan akar umbi termasuk membabitkan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).


“Saya akan perincikan perkara ini nanti. Tapi saya nyatakan di sini secara global dalam tempoh tiga tabun, ini yang akan saya cuba realisasikan terutama program pembangunan akar umbi.


Saya akan mengadakan lebih banyak kerjasama dengan Menteri Belia dan Sukan (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman), NFDP kerana FAM sudah semestinya mengambil peranan lebih besar kerana ia badan induk bola sepak di Malaysia,” katanya dalam sidang media selepas Kongres ke-53 FAM di sini hari ini.


Bekas setiausaha  agung FAM itu diisytihar selaku presiden FAM yang ketujuh pada Kongres ke-54 hari ini menggantikan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang melepaskan jawatannya pada Mac lepas.


Beliau menang tanpa bertanding selepas  pencabarnya bekas Presiden Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa dan Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi membuat keputusan menarik diri.


Terdahulu dalam ucapannya pada kongres itu, beliau berkata  FAM juga bakal melalui proses perubahan struktur cara kerja dan operasi dengan memberi penekanan kepada ‘tadbir urus yang baik’ dan ‘ketelusan’.


Selain itu, beliau berkata keutamaan akan turut diberikan berhubung pembangunan ibu pejabat FAM yang baharu dan pusat latihan skuad kebangsaan di Putrajaya.


Mengenai kecemerlangan skuad kebangsaan pula, Hamidin berkata beliau telah mengarahkan  Pengarah Teknikal FAM Peter De Roo untuk memulakan langkah dengan mengambil kira tempoh perancangan sehingga tahun 2030.


Masanya sudah tiba untuk FAM memberanikan diri dalam meletakkan sasaran dengan mengimpikan sesuatu yang lebih tinggi dan pada masa sama bersedia menghadapi segala kemungkinan, katanya.


“Untuk kekal dalam zon selesa bukan lagi satu pilihan , tiada peningkatan tanpa penderitaan,


Kejayaan di peringkat Piala AFF Suzuki dan Sukan SEA tidak boleh lagi dijadikan penanda aras atau  ‘benchmark’ sebaliknya melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia AFC, layak ke Sukan Olimpik, berada dalam kelompok lapan negara terbaik di Sukan Asia dan layak ke pertandingan FIFA bawah umur sewajarnya menjadi matlamat paling utama kini,” katanya.


Hamidin berkata, beliau juga akan memastikan kelancaran program pembangunan pengadil profesional  disegerakan yang mana proses merekrut untuk kelompok pertama sebanyak lapan orang pengadil akan dimulakan dalam tempoh terdekat.


Beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan Jabatan Tenaga Kerja untuk kerjasama secara strategik selain mengenakan syarat lebih ketat untuk mana-mana pasukan menyertai pertandingan tempatan dalam usaha menangani masalah gaji tertunggak pemain. -Bernama


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]