Adun DAP diserang lagi

in Edisi Utara by


GEORGETOWN – Adun Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid kecewa dengan politik tidak matang yang diamalkan penyokong pembangkang apabila sering menuduhnya sebagai pengkhianat agama.


Syerleena berkata, beliau kesal dengan serangan kitar semula itu yang didakwanya sebagai tindakan tidak profesional.


“Saya kesal apabila saya terus dituduh dengan perkara yang tidak benar. Tambahan pula isu yang mereka bangkitkan adalah fitnah sama.


“Tuduhan mengatakan saya pengkhianat Islam dan bersekongkol dengan DAP untuk menyerang institusi Islam adalah merepek dan tak masuk akal.


“Adakah ini yang dinamakan politik matang?” katanya ketika dihubungi Sinar Harian tadi.


Terdahulu, Syerleena yang juga bekas Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang membuat laporan di Balai Polis Jelutong di sini berhubung sebuah poster yang dimuatnaik di Facebook.


Menerusi poster yang tertulis ‘darahnya halal tidak berdosa dibunuh, dia pengkhianat Islam. Syerleena Abdul Rashid Adun Seri Delima wajar dibunuh kerana sebagai seorang Islam dia bersekongkol dengan cina kafir harbi DAP untuk menyerang institusi Islam’ itu dimuatnaik sejak pagi tadi.


Syerleena berkata, beliau percaya, poster itu dibuat selepas laporan media mengenai ugutan bunuhnya melalui sekeping nota disiarkan beberapa hari lalu.


Minggu lalu, Syerleena menerima ugutan bunuh melalui sekeping nota yang diselitkan diantara surat-surat lain dan dimasukkan ke dalam peti surat pusat khidmat beliau di Taman Island Glades.


Menurutnya, beliau menyedari nota yang bertulis ‘Maut Menanti Kamu’ itu ketika sedang mengambil surat lain di peti surat tersebut.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]