Beberapa sekolah di Sarawak bergelap

in Nasional by


PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan memberi keutamaan kepada kebajikan guru dan murid-murid susulan kes melibatkan beberapa sekolah di Sarawak terpaksa bergelap kerana ketiadaan bekalan diesel.


Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan sedang berusaha menyiasatnya bagi menyelesaikan kes tersebut dengan segera.


Beliau juga sudah membangkitkan hal itu dalam mesyuarat pasca Kabinet Rabu lalu.


“Saya memohon semua bersabar dan berdoa untuk keselamatan guru dan murid-murid kita yang terlibat.


“Saya akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa,” katanya dipetik menerusi akaun Twitter miliknya hari ini.


Sementara itu, memetik laporan Malaysiakini, antara sekolah yang terlibat adalah di kawasan Kapit, Song dan Belaga yang dijangka menghadapi bekalan elektrik mulai esok.


Berdasarkan surat yang diterima portal itu, subkontraktor projek berkenaan berkata, mereka perlu menghentikan bekalan diesel kerana mendakwa tidak menerima bayaran daripada kontraktor utama projek sejak Mac lalu.


[ARTIKEL BERKAITAN: Siasatan dalaman isu projek solar di Sarawak bermula]


Bulan lalu, Kementerian Pendidikan memulakan proses siasatan dalaman bagi mengenal pasti individu terlibat berkaitan isu penyelewengan pemberian kontrak membekal tenaga solar dan diesel di 369 sekolah di Sarawak.


Ia kemungkinan berlakunya penyelewengan dalam pemberian kontrak projek hibrid solar bernilai RM2.5 bilion yang didakwa diberikan melalui penganugerahan kontrak secara telus di bawah bekas pemimpin tertinggi negara.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]