Benarkah PRK membazir?

in Politik by


SHAH ALAM – Kematian atau perletakan jawatan seseorang wakil rakyat di kerusi Dun mahupun Parlimen memerlukan PRK dijalankan dalam tempoh tertentu yang ditetapkan bagi mengisi semula kekosongan kerusi berkenaan.


Faktor hilang kelayakan atau pembatalan keputusan pilihan raya oleh Mahkamah Pilihan Raya juga boleh dijadikan sebab mengapa PRK harus berlaku.


Proses PRK harus dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan setiap PRK pula biasanya mengambil kira kos atau peruntukan yang berbeza mengikut faktor-faktor tertentu bergantung kepada jumlah bilangan pengundi, lokasi pengundian, bilangan petugas SPR dan banyak lagi.


Namun yang menjadi isu apabila PRK yang dilaksanakan ini dilihat menelan kos belanja yang sangat tinggi atau melampau.


Dalam beberapa PRK yang dibuat sebelum ini kos penganjuran dilihat ada yang mencecah sehingga jutaan ringgit.


Antara PRK termahal boleh dilihat pada PRK Kuala Kangsar dan PRK Sungai Besar yang dijalankan serentak melibatkan kos RM2. 7 juta,  PRK Bukit Gelugor (RM1.9 juta), PRK Kajang (RM1.6 juta), PRK Sungai Limau (RM1.3 juta) dan terbaharu PRK Sungai Kandis yang bakal berlangsung pada 4 Ogos ini turut memperuntukkan RM1.4 juta perbelanjaannya.


Melihat kepada angka-angka perbelanjaan yang harus dikeluarkan SPR ini, ia seolah satu bebanan kerana mahu tidak mahu PRK harus dijalankan bagi mengisi kekosongan kerusi luar jangka yang berlaku.


Dalam satu sudut lain, PRK dilihat juga sebagai pembaziran yang tak dapat dielakkan.


Perlu ada kajian


Pensyarah Kanan Putra Business School Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, apabila berlaku kematian atau perletakan jawatan seseorang wakil rakyat, SPR wajib mematuhi segala keperluan Akta Pilihan Raya 1958 dengan mengadakan PRK dalam masa terdekat.


Beliau berkata, keperluan di dalam akta memerlukan perbelanjaan yang ditanggung oleh pihak SPR, lebih-lebih lagi pada zaman sekarang, semua kos barangan dan perkhidmatan makin tinggi menyebabkan kos perbelanjaan PRK juga menjadi tinggi.


“Jika kerajaan ingin menjimatkan kos PRK, pindaan ke atas akta perlu dilakukan supaya beberapa aktiviti atau jalan kerja PRK ditambahbaik menggunakan kaedah dan teknologi terkini.


“Ini yang seharusnya difikirkan oleh kerajaan supaya mana-mana PRK atau PRU yang diadakan pada masa depan tidak mengambil belanja yang besar.


“Lebih-lebih lagi apabila ada ura-ura untuk mengadakan pilihan raya peringkat majlis tempatan, sudah pastinya penelitian yang serius perlu diberi untuk meminimakan kos tetapi pada masa yang sama mencapai objektif dan diuruskan dengan cekap,” katanya kepada Sinar Harian.


Ahmed Razman berkata, bagi merealisasikan perkara ini (minimakan kos PRK), perlu ada perbincangan antara SPR dengan semua pihak yang terlibat.


“Ia sangat penting kerana mana-mana inisiatif untuk mengurangkan kos hanya boleh dilakukan jika ia tidak menjejaskan integriti dan pelaksanaan mana-mana pilihan raya yang akan diadakan,” katanya.


Isu bazir tolak tepi


Sementara itu, seorang pengundi di Sungai Kandis, Shahrizan Abu Hassan, 24 yang ditemui Sinar Harian berkata, isu membazir atau tidak bukan perkara utama kerana apa yang perlu ditumpukan adalah mengadakan PRK bagi mencari calon pengganti yang boleh membuat kerja serta menjaga kebajikan rakyat di kawasan yang ditandingi.


Menurut ejen insurans itu, dia juga menolak dakwaan yang memperkecilkan Umno atau Pas untuk meletakkan calon bagi PRK Sungai Kandis kerana dikatakan parti itu hanya akan membazirkan wang kerana pasti tidak menang.


Katanya, tidak salah untuk parti-parti itu menghantar calon mereka kerana PRK yang berkualiti atau berkesan perlu ada persaingan, baharulah teruji kemampuan atau sokongan terhadap mereka.


“Menang atau kalah adalah rezeki masing-masing….Walaupun Pakatan Harapan sudah menang tiga penggal di Sungai Kandis yang dahulu dikenali sebagai Seri Andalas, tidak mustahil dalam PRK kali ini keadaan boleh berubah jika Pas atau Umno letakkan calon mereka.


“Selain parti diwakili, penduduk atau pengundi di sini akan membuat pilihan berdasarkan karakter calon….Tidak kira mereka dari parti mana tapi jika boleh buat kerja atau bawa pembaharuan yang lebih baik dari Adun-adun terdahulu sudah tentu calon itu yang akan jadi pilihan.


“Bonus jika mereka juga calon tempatan kerana penduduk pasti mahukan wakil rakyat yang mereka kenali serta tahu masalah serta selok-belok kawasan,” katanya yang sudah menetap di Kampung Jawa bersama keluarga sejak 10 tahun lalu.


Dalam pada itu, berbeza pula dengan seorang lagi pengundi di Dun sama, K Rajanthiran atau lebih dikenali penduduk setempat sebagai Ganesan, 51, yang memberitahu beliau bersetuju sekiranya Umno dan Pas tidak meletakkan calon untuk bertanding pada PRK Sungai Kandis nanti.


Mekanik itu berkata, lebih baik kedua-dua parti itu membiarkan Pakatan Harapan (Harapan) menang tanpa bertanding kerana sudah terbukti selama tiga penggal, sokongan pengundi sangat kuat terhadap Harapan.


“Jika mereka letak calon juga, hanya membazir saja…Mereka takkan menang.


“Semua Adun dan ahli parlimen Harapan yang pernah berbakti di Sungai Kandis serta Kota Raja seperti A Xavier Jayakumar, Dr Mariah Mahmud dan Shuhaimi Shafiei adalah wakil rakyat yang benar-benar berwibawa dan menjalankan kerja-kerja mereka dengan baik….Saya percaya calon yang akan diletakkan untuk bertanding mewakili Harapan pada PRK kali ini juga pasti setanding dengan penyandang terdahulu atau lebih baik, Umno atau Pas tidak akan ada peluang,”katanya.


Katanya, dia yang sudah tinggal hampir 30 tahun di situ dan menjadi pengundi PRU sebanyak empat kali berharap PRK yang berlangsung pada 4 Ogos nanti dimenangi oleh calon Harapan, sekaligus dapat meneruskan legasi kecemerlangan wakil rakyat terdahulu.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]