Bos Gaurus tak boleh main-main lagi

in Sukan by


KSEBELASAN Perak dituntut tidak lagi mengulangi kesilapan sama ketika menentang Pahang malam semalam sekiranya berhajat mengakhiri saingan dikedudukan kedua Liga Super musim ini.


Ketua Jurulatih The Bos Gaurus, Mehmet Durakovic berkata, Perak tidak lagi mempunyai ruang untuk melakukan sebarang kesilapan berdasarkan kedudukan mata yang hampir dengan pencabar lain terutamanya Pahang, Kedah dan Terengganu.


“Kita tak boleh lagi lakukan kesilapan. Kedudukan pasukan lain sebenarnya  tidak jauh daripada kita dan kesemua pasukan itu adalah pasukan yang baik.


“Oleh itu, kita akan cuba memberikan aksi terbaik bagi mengumpulkan mata maksimum pada baki perlawanan musim ini,” katanya.


Durakovic berkata demikian  pada sidang media sejurus tamat aksi Liga Super antara Perak dan Pahang di Stadium Perak, malam semalam.


Kedua-dua pasukan terikat 1-1 hasil jaringan pemain Pahang, Norshahrul Idlan Talaha minit ke-16 sebelum pemain Perak, Norhakim Hassan meledak jaringan penyamaan minit ke-25.


Keputusan berkenaan menyaksikan Perak berada pada kedudukan kedua Liga Super dengan 32 mata, hasil sembilan kemenangan lima seri dan tewas lima kali manakala Pahang pada kedudukan ketiga dengan 30 mata hasil lapan kemenangan, seri enam kali dan tewas lima kali setakat ini.


Sementara itu, Durakovic gembira dengan aksi kesebelasan Bos Gaurus yang memberikan saingan kepada Tok Gajah yang disifatkannya sebagai pasukan kuat.


Malah katanya, kesebelasan Perak lebih banyak mencipta peluang gol, namun dinafikan ketangkasan penjaga gol Pahang, Helmi Eliza Alias.


“Jika anda peminat bola sepak, perlawanan ini antara aksi terbaik ditonton. Kedua-dua pasukan beraksi baik mencipta peluang gol.


“Pahang adalah pasukan yang baik dengan barisan pemain yang berpengalaman, tetapi dalam masa sama kita juga berikan saingan,” katanya.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]