Empat pelajar diarah kaunseling

in Edisi by


KOTA BHARU – Akibat gurauan melampau dengan melilit rakan dengan menggunakan akar pokok, empat pelajar sebuah sekolah di Penambang diambil tindakan disiplin dan diarah menjalani sesi kaunseling.


Pengarah Jabatan Pendidikan Kelantan, Muhammad Zahari Othman berkata, keempat-empat pelajar lelaki Tingkatan Empat itu sudah dipanggil pihak sekolah bersama ibu bapa masing-masing.


“Pihak kami mengenakan tindakan terhadap mereka atas dua perkara, pertama ponteng sekolah, manakala kedua atas alasan melakukan perkara atau gurauan dan lakonan yang melampau serta boleh membahayakan diri.


“Jadi pelajar ini sudah diserahkan kepada kaunselor untuk kaunseling dan bimbingan selain ibu bapa mereka juga sudah dimaklumkan secara jelas berhubung perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Khatam Al-Quran Perdana dan Pertandingan Kalam Sya’bi Sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia Peringkat Negeri Kelantan 2018M/1439H.


Sebelum ini tular di media sosial video seorang remaja diikat dengan akar pokok oleh beberapa pelajar sekolah.


Bagaimanapun polis mengesahkan kejadian itu bukan buli sebaliknya hanya gurauan antara mereka.


[ARTIKEL BERKAITAN: Bukan buli tapi bergurau]


 


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]