Enam tahun ketagih dadah

in Edisi Johor by


KOTA TINGGI – Detik hitam selama enam tahun ketagihan dadah bukan sahaja menyebabkan seorang pemuda kehilangan kerja bahkan turut merasa menjadi gelandangan di kota raya Kuala Lumpur.


Mohd Asyraf Jamian, 33, berkata, dia mula terjebak dengan najis dadah selepas terpengaruh dengan kawannya ketika bekerja sebagai pemandu lori.


Menurutnya, ketika itu usianya 22 tahun dan pada awalnya cuba menolak beberapa kali ajakan kawannya namun akhirnya tewas.


“Masa tu saya kerja bawa lori pasir hantar barang di kawasan sekitar. Pada awalnya kawan ajak-ajak saya berjaya tolak. Namun bila masuk hari keempat dan lima ‘digoda’ akhirnya saya tewas.


“Mula-mula saya kena satu dua kali saja. Masa tu aura dia lain macam. Sejak itu, minggu-minggu berikutnya saya mencari lagi ‘barang’ tersebut. Sedar tak sedar masa tu saya sudah gian,” katanya kepada Sinar Harian.


Pemuda yang berasal dari Felda Bukit Waha itu berkata, setelah menjadi ‘mat gian’ badannya susut dan mukanya mula cengkung.


Katanya, otaknya juga mula tidak dapat berfungsi dengan betul bahkan hendak bekerja pun jadi malas.


“Hidup saya jadi terumbang-ambing masa tu. Saya pernah ditangkap kerana dadah kemudian keluarga jamin.


“Melihat keadaan diri sendiri saya cuba untuk berubah. Ketika itu saya ambil keputusan cari kerja di Kuala Lumpur.


“Di sana saya terlibat dengan kerja produksi sebuah syarikat terbitan terkenal. Masa tu fikiran saya adalah mahu lari dari dunia ‘dadah’, lari dari kawan-kawan yang membuatkan saya terjebak dengan dunia hitam itu,” katanya.


Hidup teruk kerana dadah


Permulaan kehidupan di Kuala Lumpur berjalan dengan baik sehinggalah dia dilantik sebagai pembantu pengarah.


Katanya, kehidupan normal tanpa dadah hanya bertahan selama setahun sebelum dia mula terjebak kembali dengan najis tersebut kerana terlalu tidak tahan.


“Saya mula kena dadah balik selepas setahun kerja di Kuala Lumpur. Masa tu keadaan sangat teruk sampaikan rumah sewa saya tidak boleh bayar. Bahkan kereta saya menjadi cagaran gara-gara tak dapat bayar hutang kepada tokan.


“Keluarga tak tahu keadaan saya. Saya hubungi mak minta duit dan mak beri kerana tak syak apa-apa.


“Masa itu ketagihan saya semakin menjadi-jadi mengalahkan ketika berada di kampung. Ekoran itu, kerjaya saya musnah. Tiada kenderaan, tiada rumah untuk tinggal,” katanya.


Berikutan kesempitan hidup dialami ekoran bahana dadah, maka bermulalah kehidupannya sebagai gelandangan kerana tiada tempat yang hendak dituju.


“Saya jadi gelandangan di Sungai Pencala selama enam bulan. Duduk, tidur di bawah jambatan Sungai Pencala. Bila kenang balik saya sedih kerana saya boleh jadi macam tu sekali.


“Keluarga yang menyangka saya kerja dengan baik di Kuala Lumpur akhirnya dapat tahu tentang kehidupan ‘baru’ saya. Selepas dapat tahu, bapa dan adik bertindak mengambil saya dan bawa balik kampung untuk ‘betulkan’ saya semula.


“Mereka kemudian bawa saya ke Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).


“Pada awalnya saya dirawat selama tiga bulan. Selepas tamat saya minta tambah lagi enam bulan sesi,” katanya.


Tak mahu jadi


hamba dadah


Nekad yang tinggi untuk tidak mahu terus menjadi hamba dadah dan berterusan dari mengecewakan keluarganya membuatkan Mohd Asyraf berjaya meninggalkan kancah dadah.


Bahkan kini dia bekerja sebagai Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) di AADK Kota Tinggi dalam usaha untuk membantu agensi berkenaan menarik masyarakat untuk menjauhi najis dadah.


“Tak dinafikan nak berhenti dari dadah bukanlah satu perkara yang mudah memerlukan azam yang kuat.


“Sedar tak sedar kini saya sudah lima tahun bekerja sebagai PRS terlibat dengan banyak aktiviti kemasyarakatan. Syukur kini saya dapat jalani kehidupan yang normal bersama keluarga tercinta.


“Kesan dadah amat bahaya tak kira orang tua atau muda, berpangkat atau tidak. Sekali terjebak otak jadi rosak kita tak sedar.


“Ibu bapa keluarga kita sudah hilang hormat, kehidupan kita jadi hancur sekelip mata. Dari usia muda sedar tak sedar dah masuk 40 tahun masih menagih. Inilah penangan dadah yang amat dahsyat,” katanya.


Tegasnya, pencegahan awal dari rumah amatlah penting untuk menjauhkan keluarga dari najis dadah.


Dia turut menasihati orang ramai sekiranya melihat ahli keluarga sudah kelihatan ‘lain macam’ dan mula terbabit dalam dadah jangan bertangguh untuk dapatkan rawatan AADK.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]