Farizan ganti sementara tugas TKM 1

in Edisi Utara by


GEORGETOWN – Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Farizan Darus dipertanggungjawabkan untuk menggalas tugas Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang  sedang bercuti sakit.


Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Farizan akan meneruskan usaha Ahmad Zakiyuddin yang sedang menjalankan kajian semula berhubung lantikan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) bagi tahun akan datang.


Menurutnya, perkara itu telah dibincangkan dan dipersetujui dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Pulau Pinang baru-baru ini.


“Buat sementara itu, Ahmad Zakiyuddin dinasihatkan agar berehat antara dua hingga tiga bulan selepas menjalani pembedahan jantung minggu lalu. Oleh itu, dalam mesyuarat Exco baru-baru ini, kita ada berbincang siapa yang akan bertanggungjawab dengan tugas Ahmad Zakiyuddin ketika beliau sedang bercuti.


“Maka mesyuarat telah mempersetujui Farizan untuk menggantikan tugas Ahmad Zakiyuddin. Mengenai perbincangan lantikan dan kajian semula JKKK itu, mereka telah mengadakan satu mesyuarat untuk membawa isu ini balik ke parti masing-masing untuk perbincangan lanjut. Maka, Farizan akan meneruskan projek selanjutnya,” katanya kepada media.


Terdahulu, Kon Yeow merasmikan Karnival STEM Pulau Pinang 2018 di Lebuh Pantai di sini tadi.


9 Julai lalu, Ahmad Zakiyuddin selamat menjalani pembedahan pintasan jantung di Hospital Pulau Pinang selepas mengadu sakit dada ketika dalam perjalanan ke sebuah majlis di Kepala Batas.


Mengulas tentang keadaan Ahmad Zakiyuddin, Kon Yeow berkata, beliau kelihatan lebih bersemangat dan semakin sihat.


“Beliau kini stabil dan sedang berehat. Beliau kelihatan lebih bersemangat,” katanya.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]