Gandingan tepat terajui Umno Pulau Pinang

in Politik by


BUKIT MERTAJAM- Pemilihan Datuk Musa Sheikh Fadzir dan Datuk Dr Shaikh Hussein Mydin menerajui Umno Pulau Pinang dilihat tepat berdasarkan kewibawaan dan pengalaman dua pemimpin itu.


Ketua Pemuda Umno Bahagian Nibong Tebal, Mohd Norhiesam Ismail berkata, Musa yang sebelum ini menjawat jawatan Setiausaha Umno Pulau Pinang mempunyai pengalaman yang luas dalam politik dan selain merupakan pemimpin yang sering turun bertemu rakyat dan akar umbi.


Menurutnya, corak kepimpinan yang ditujukan Musa sebelum ini diharap dapat melakukan perubahan terhadap Umno serta menggerakkan semua jentera parti untuk menentukan hala tuju Umno Pulau Pinang dalam menjadi pembangkang yang baik.


“Beliau (Musa) merupakan orang lama yang sebelum ini pernah menjawat pelbagai jawatan dalam parti malah disenangi oleh semua lapisan masyarakat di sini.


“Pengalaman yang beliau ada itu dapat digunakan dalam menggerakkan dan memulihkan semangat ahli Umno di Pulau Pinang seterusnya mengembalikan kekuatan kita di semua sayap,” katanya ketika dihubungi di sini.


Sementara itu Mohd Norhiesam berkata, Shaikh Hussein pula seorang pemimpin muda yang lantang bersuara dalam mengetengahkan pelbagai isu dan kepincangan kerajaan negeri sebelum ini.


Menurutnya, selain mempunyai latar belakang yang baik termasuk pendidikan, Shaikh Hussein dilihat mampu membantu Musa dalam memantapkan semula parti selain mengembalikan sokongan rakyat terhadap Umno.


“Diharapkan gandingan pimpinan baharu dan lama ini akan memperkasakan lagi Umno Pulau Pinang selain memberi nafas baru kepada parti,” katanya


Source: SH Politik

[featured-video-plus]