Isu MT Umno: Patuhi perlembagaan Umno

in Politik by


KUALA LUMPUR – Ahli Umno digesa untuk mematuhi perlembagaan Umno berbanding mempertikaikan keputusan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam melantik Ahli Majlis Tertinggi Umno.


Timbalan Ketua Umno Bahagian Setiawangsa, Datuk Mohd Irwan Rizal berkata, perbezaan pendapat dalam Umno boleh ‘diraikan’, namun dalam isu Ahli Majlis Tertinggi Umno, ianya jelas adalah hak Presiden Umno untuk melantik.


Menurutnya, dia berasa hairan dengan sikap segelintir ahli Umno yang menzahirkan rasa tidak puas hati dengan lantikan tersebut.


“Presiden Umno baru sahaja mengumumkan senarai individu yang beliau rasakan sesuai untuk dilantik. Namun yang menghairankan adalah ada juga segelintir ahli menzahirkan rasa tidak puas hati dengan lantikan tersebut.


“Kamu yang bersuara harus menghormati Perlembagaan. Telah jelas termaktub di dalam perlembagaan Umno mengikut Fasal 9.2.8, Presiden mempunyai hak


untuk melantik Ahli Majlis Tertinggi Umno lantikan dan juga Pengerusi-Pengerusi Perhubungan Umno dan pimpinan negeri-negeri,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, tadi.


[ARTIKEL BERKAITAN: Zahid umum lantikan jawatan Umno, Apandi jadi MT]


[ARTIKEL BERKAITAN: Apandi tolak pelantikan Ahli Majlis Tertinggi Umno]


Irwan menegaskan setiap pergerakan dan perjuangan harus berlandaskan perkara asas iaitu Perlembagaan yang telah diluluskan.


“Saya pasti presiden telah melakukan ‘homework’ beliau serta penilaian yang dilakukan adalah berpaksikan ingin melihat Umno terus maju.


“Jika perlembagaan kita sendiri pun tidak boleh dipatuhi bagaimana pula kita mahu berjuang demi kebaikan rakyat serta mendapatkan semula kepercayaan mereka agar diberi mandat untuk mentadbir Negara.


Sementara itu, Irwan turut mengucapkan tahniah kepada pimpinan yang dilantik dan beliau berharap agar semua individu tersebut terus memberi khidmat membantu Presiden Umnk bagi memberi khidmat terbaik kepada orang Umno keseluruhan.


Untuk rekod, semalam Zahid mengumumkan lantikan senarai Ahli Majlis Tertinggi Umno dan menyatakan lantikan berkenaan dibuat mengikut perlembagaan Umno mengikut Fasal 9.2.8.


Menurutnya, lantikan berkenaan merupakan langkah pertama Umno menuju pembaharuan agar parti terus relevan dalam pentas politik tanah air.


Selepas pengumuman dibuat Bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, yang baharu dilantik menganggotai barisan Ahli Majlis Tertinggi Umno mengambil keputusan untuk menarik diri daripada menjawat jawatan berkenaan.


Katanya, keputusan itu diambil setelah beliau menimbang beberapa perkara antaranya adalah mengenai persepsi negatif yang bakal timbul sekiranya beliau menjawat kedudukan berkenaan.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]