Kehadiran Maim reda kesempitan Zakaria

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


JASIN – Majlis Agama Islam Melaka (Maim) bersedia memberi bantuan segala keperluan warga emas, Zakaria Siman, 61, yang mendakwa pihak Hospital Jasin gagal memaklumkan kematian isterinya selepas wanita itu meninggal dunia lebih tujuh jam.


Penolong Setiausaha Bahagian Agihan Zakat Maim, Mohd Rizalman Syed berkata, setakat ini pihaknya sudah meluluskan serta merta bantuan makanan bulanan berjumlah RM200 setiap bulan kepada Zakaria yang hanya melakukan kerja-kerja kampung sebagai sumber sara hidup.


Selain itu katanya, Maim turut berusaha mendapatkan peruntukan membaiki rumah demi keselesaan warga emas terbabit yang selama ini hanya berteduh di rumah usang didirikan di atas tanah dusun milik seorang kenalan.


“Maim luluskan bantuan makanan bulanan berjumlah RM200 sebulan, selain itu, kita akan buat permohonan membaiki rumah yang dianggarkan sekurang-kurangnya berjumlah RM5,000.


“Kita ingin beritahu kepada para pembayar zakat inilah antara yang kita dapat salurkan menerusi program ‘Asnaf Bersama Masyarakat’ dan pada hari ini Maim turut menyampaikan keperluan makanan dan sumbangan khairat kematian berjumlah RM200,” katanya.

Keadaan rumah yang didiami Zakaria.


Beliau ditemui ketika melakukan lawatan ke rumah warga emas terbabit di Kampung Chin Chin, di sini yang turut disertai Pengerusi Biro Kebajikan, Pembangunan Masyarakat (Pusat Khidmat Masyarakat) Majlis Jaksa Pendamai Negeri Melaka, Amir Hamzah Aziz bersama ahli jawatankuasanya, Ahmad Baharuddin.


Sementara itu, Zakaria melahirkan rasa syukur atas keprihatinan kerajaan negeri menerusi Maim yang mengaturkan pelbagai jenis bantuan terhadapnya termasuk kos membaiki rumah.


“Saya tidak sangka ada juga pihak yang prihatin dengan nasib saya dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri, pihak kepimpinan kampung Chin Chin dan Majlis Jaksa Pendamai Negeri Melaka,” katanya.


Pada 12 Julai lalu, Sinar Harian melaporkan seorang warga emas kecewa apabila hanya mengetahui berita mengenai kematian isteri sedang dirawat di Hospital Daerah Jasin, selepas lebih tujuh jam wanita itu meninggal dunia.


Dia mendakwa, isterinya, Roslin Anuar, 57, mula dimasukkan ke hospital berkenaan pada jam 12.30 pagi, Selasa lalu ekoran masalah ketumbuhan pada otak.


Namun, dia terkejut sebaik datang menziarahi isteri pada waktu lawatan jam 12.30 tengah hari, pihak hospital memaklumkan Roslin sudah meninggal dunia dan disahkan kematiannya pada jam 5.10 pagi.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]