Kerajaan negeri timbang jadikan Khumaira anak angkat

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan untuk menjadikan Nur Zulaikha Khumaira Zulkifli, 7, sebagai anak angkat, dalam memastikan kebajikan kanak-kanak malang itu terbela.


Dalam kejadian Khamis lalu, Khumaira putus tangan kiri akibat baju sejuk bersaiz besar dipakainya tersangkut di rim motosikal dinaikinya dalam kejadian di Kampung Binjai Bongkok, Marang.


Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, apa yang penting kini, kerajaan negeri ingin melihat keperluan dan bagaimana cara untuk membantu kanak-kanak itu untuk meneruskan kehidupan dan pendidikan.


“Kita tak nak apa yang menimpa adik Khumaira ini mengganggunya untuk menjalani kehidupan selepas ini yang masih jauh dan panjang. Kita akan membantu sedaya upaya dan apa jua cara, termasuk untuk menyediakan tangan palsu supaya dia dapat meneruskan kehidupan seperti biasa.


“Berhubung dengan anak angkat, kita akan bincang di peringkat kerajaan negeri dan akan dipertimbangkan segala kemungkinan sebab tiada siapa yang mahu ini terjadi. Saya bagi pihak jentera pentadbiran dan kerajaan negeri dan rakyat Terengganu, mengucapkan takziah kepada adik Khumaira di atas kemalangan yang menimpa,” katanya.


Sebelum itu, Dr Ahmad Samsuri meluangkan masa kira-kira 15 minit melawat Khumaira yang kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, hari ini.


Ditanya mengenai bantuan tangan palsu, beliau menjelaskan, berdasarkan keadaan semasa kanak-kanak itu, dia boleh menggunakannya namun memerlukan latihan untuk membiasakan diri.


“Kerajaan negeri juga akan memantau keadaan Khumaira dan berhubung dengan keluarganya untuk meringankan apa jua permasalahan yang dihadapinya dalam meneruskan kehidupan, terutamanya di sekolah dan sebagainya,”katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]