Keranamu ibu…

in Edisi by


JELI – “Saya hanya tunaikan impian ibu. Dia nak sangat tengok saya naik pentas terima sesuatu yang membanggakan, alhamdulillah hari ini ALLAH makbulkan,” kata Nurul Syafiqah Abdul Manaf.


Nurul Syafiqah, 22, merupakan penerima Anugerah Pengarah sempena Majlis Konvokesyen Ke-5 Politeknik Jeli, Kelantan yang berlangsung, hari ini.


Menurutnya, apa yang dikecap adalah kerana ibunya, Shamsiah Kamaluddin, 54, yang tidak pernah berputus asa memberi galakan dan semangat sehingga dia mampu menggapai kejayaan membanggakan bukan sahaja untuk diri dan keluarga malah seluruh warga Politeknik Jeli.


“Saya hanya ada ibu sejak lahir kerana ayah meninggal ketika usia saya tiga bulan dalam kandungan. Ibu adalah segalanya bagi saya, dia juga orang yang bertanggungjawab terhadap apa yang saya miliki hari ini.


“Saya cuba untuk tidak menghampakan ibu, kerana dialah yang menjadi penguat semangat dan pendorong di saat saya hampir putus asa,” katanya kepada Sinar Harian.


Nurul Syafiqah yang juga graduan Diploma Agroteknologi Jabatan Agroteknologi dan Bio Industri menerima anugerah berkenaan daripada Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Kementerian Pendidikan, Prof Datuk Dr Mohd Ismail Abd Aziz.


Dia yang memperoleh Himpunan Purata Nilaian Mata (HPNM) 3.70 merupakan antara pelajar cemerlang apabila setiap semester menerima Anugerah Dekan.


Nurul Syafiqah berkata, dia dilahirkan dalam keluarga yang serba kekurangan dan kehidupan dilalui turut memotivasikan dirinya untuk berjaya serta mengubah nasib diri dan keluarga.


Anak bongsu daripada enam beradik yang menamatkan pengajian Jun tahun lalu kini sedang bekerja sebagai kerani di salah sebuah syarikat di Pahang.


Nurul Syafiqah yang bercita-cita bergelar seorang usahawan berhasrat menjalankan perniagaan sendiri dengan menceburkan diri dalam industri pembungkusan produk.


“Saya juga rancang untuk sambung pengajian di Universiti Malaysia Sabah dalam bidang saya sekarang bagi mengembangkan lagi pengetahuan yang ada sebelum memasuki industri,” katanya.

 


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]