Klinik Kesihatan Kampung Raja bakal ditamatkan kontrak

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Kementerian Kesihatan mengambil keputusan  menamatkan perkhidmatan kontraktor pembinaan Klinik Kesihatan Kampung Raja, Besut ekoran kegagalan syarikat itu menepati jadual pembinaan walaupun sudah lima kali diberi amaran.


Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, syarikat itu juga dikesan mempunyai kelemahan dari segi kewangan dan faktor itu menyebabkan kerajaan tidak lagi yakin dengan kemampuan mereka menyiapkan projek berkenaan yang sepatutnya siap Februari tahun depan.


Menurutnya, kemajuan pembinaan klinik kesihatan bagi tujuan manfaat kepada penduduk sekitar Kampung Raja itu setakat ini hanya mencapai tahap 29 peratus berbanding jadual asal sepatutnya sudah siap 59 peratus selepas ia dimulakan pada tahun 2017.


“Kita akan syor kepada JKR (Jabatan Kerja Raya) supaya kontraknya ditamatkan dan JKR akan ambil tindakan susulan,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, hari ini.


Hadir sama Ketua Pengarah Kesihatan,  Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Mohammad Omar.


Klinik Kesihatan Kampung Raja yang menelan kos RM30 juta menjadi projek kedua pemajunya ditamatkan perkhidmatan oleh kerajaan baharu Pakatan Harapan selepas kontraktor pembinaan Hospital Petra Jaya, Sarawak.


Kedua-duanya merupakan sebahagian daripada 24 projek sakit terdiri daripada membina, baik pulih klinik kesihatan dan hospital di seluruh negara yang kini dipantau oleh KKM ekoran mengalami kelewatan 20 peratus dalam aspek kemajuan pembinaan, berbanding tempoh ditetapkan.


Dzulkefly berkata, tindakan tegas itu merupakan mesej jelas kepada pemaju projek KKM supaya berusaha mempertingkatkan komitmen mereka menyiapkan projek masing-masing mengikut tempoh masa ditetapkan.


Sebarang kelewatan dan kegagalan kontraktor mematuhi jadual siap kerja katanya akan memberi kesan kepada rakyat yang terpaksa bersesak-sesak mendapatkan rawatan di hospital berhampiran.


“Ini mesej saya, kami tidak akan berkompromi dari sudut kepentingan rakyat kerana akhirnya yang akan menanggung semua ini adalah rakyat,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]