MBDK jinakkan JBSNT

in Edisi Terengganu by


KEMAMAN – Pasukan bola sepak Majlis Belia Daerah Kemaman (MBDK) berjaya membuktikan kehebatan tersendiri apabila menjuarai aksi persahabatan bertemu Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu (JBSNT) dengan kemenangan 2-1, di padang sintetik Stadium Mak Chili milik Majlis Perbandaran Kemaman (MPK).


Pada perlawanan itu, kedua-dua pasukan mempamerkan aksi seimbang apabila masing-masing berbalas serangan ke gawang gol namun beberapa peluang terhidang gagal disempurnakan dengan cemerlang.


Begitupun, kerja keras kem tuan rumah dalam membuka tirai jaringan tertunai pada minit ke-40 sekali gus menyaksikan MBDK berada di depan sehingga membawa perlawanan ke bilik persalinan.


Bersambung babak kedua, MBDK tidak menunggu lama untuk mengukuhkan kedudukan apabila berjaya menjaringkan gol kedua pada minit ke-52 menjadikan kedudukan 2-0.


Pelawat yang tidak patah semangat dalam merapatkan jurang kedudukan akhirnya berjaya menemui sentuhan jaringan pada minit ke-80, namun jaringan itu masih tidak cukup buat JBSNT untuk mengikat keputusan seri apabila MBDK terus bertindak cemerlang memastikan gawang gol terus tertutup buat mereka sekali gus memberi kemenangan mutlak buat tuan rumah dengan kemenangan 2-1 sehingga ke wisel penamat.


MBDK akui terima tentangan hebat


Penjaga gol MBDK, Mohd Izham Ahmad mengakui pasukannya diberi tentangan hebat sepanjang perlawanan berlangsung sehingga memaksa rakan-rakan sepasukannya berhempas pulas mempertahan dua gol awal di penghujung perlawanan.


“Sememangnya aksi persahabatan pada kali ini sangat mengujakan apabila masing-masing memberikan komitmen terbaik di dalam padang sehingga menjadikan perlawanan ini lebih menarik dan mendebarkan.


“Apa pun saya bersyukur kami berjaya mengekalkan kemenangan pada perlawanan ini dan semangat juang ditunjukkan kesemua pemain sewajarnya diberi pujian,” katanya.


Mengulas lanjut perlawanan itu, Mohd Izham yang juga Pengerusi MBDK berkata, penganjuran aksi persahabatan itu bukan sahaja bertujuan untuk mengeratkan hubungan dalam kalangan pemain kedua-dua pasukan bahkan turut menjadi medan menguji tahap kesiapsiagaan padang sintetik baharu sebelum ianya dibuka untuk kegunaan orang awam.


“Kami sebenarnya amat teruja dan berbangga apabila berpeluang untuk menguji padang ini terlebih dahulu sebelum ia dibuka secara rasmi kepada masyarakat setempat mengadakan aktiviti sukan di sini,” katanya.


Padang sintetik bakal bertaraf Fifa


Padang Stadium Mak Chili mula dinaik taraf kepada padang sintetik pada Ogos 2017 dan siap April lalu dan menjadi padang pertama di negeri ini yang akan mendapat pengiktirafan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).


Dengan naik taraf itu, padang itu juga layak digunakan untuk perlawanan bola sepak peringkat kebangsaan.


Kos naik taraf padang berkenaan melibatkan peruntukkan hampir RM3 juta dan diharap mampu menjadi pemangkin untuk menaikkan mutu bola sepak Terengganu dan cungkil bakat-bakat baharu dalam sukan bola sepak.


Sementara itu, menurut Mohd Izham, kemudahan padang sintetik berkenaan bakal memanfaatkan ramai belia terutama di Kemaman khususnya dalam memacu pembangunan sukan bola sepak di Terengganu.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]