Nelayan teruskan pencarian bot hilang di laut

in Edisi Terengganu by


MARANG – Sehingga hari ini, bot bernombor TFA 123 dinaiki empat nelayan yang karam ketika dalam perjalanan untuk mencandat sotong di perairan Marang 10 hari lalu masih belum ditemui.


Usaha untuk mencari bot milik Mohd Azmi Mohd Saad, 39, yang berasal dari Kampung Paya Resak, Bukit Payong itu akan diteruskan sehingga bot bernilai hampir RM80,000 itu dapat ditemui semula.


Mohd Azmi berkata, usaha itu tidak akan ditamatkan dan dia dibantu oleh rakan-rakan nelayan akan terus berusaha bagi mengesan bot yang baharu sahaja dibeli bapanya, Mohd Saad Taib, 66, pada 12 April itu.


“Saya bergantung sepenuh masa kepada kerja sebagai nelayan jadi hanya bot berkenaan punca rezeki saya. Saya akan terus mencari bot itu dengan apa cara sekalipun agar ia dapat ditemui semula.


“Saya juga telah meminta bantuan pihak Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk menggunakan kepakaran dan peralatan mereka dalam usaha mencari bot karam tersebut,” katanya, hari ini.


Pemegang ijazah perakaunan itu memaklumkan pihak UMT sudah memberikan persetujuan untuk membantu namun kerja-kerja mencari bot karam itu hanya akan bermula pada 8 Ogos depan.


Terdahulu, dalam kejadian kira kira jam 5 petang itu, Mohd Azmi bersama bapanya, Mohd Saad dan dua lagi keluar mencandat sotong namun perjalanan terganggu apabila bot dinaiki dipukul ombak.


Menurutnya, gelombang besar serta angin kuat telah menghanyutkan bot tersebut sebelum bot berkenaan terbalik yang akhirnya mulai tenggelam di perairan muka Kuala Mercang, di perairan berkenaan.


“Saya sempat (lagi) menelefon sahabat di darat untuk meminta bantuan dan memberikan lokasi kejadian itu kepadanya dia kemudiannya datang (tiba) lebih kurang sejam lebih untuk bagi bantuan.


“Keempat empat (mangsa) yang terlibat sempat berpaut pada bot yang sedang tenggelam itu, kami semua pakai jaket keselamatan. Situasi kami amat cemas sepanjang menunggu bantuan itu tiba,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]