Pas boleh bekerjasama dengan mana-mana ketua parti

in Edisi Terengganu by


KUALA NERUS – Pas boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang mengepalai mana-mana parti politik dalam perkara kebajikan dan kepentingan Islam serta rakyat.


Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, siapa pun yang menjadi ketua atau peneraju bukan fokus utama kerana apa yang lebih penting komitmen dan hala tuju untuk kesejahteraan bersama.


Justeru kata Mohd Khairuddin, Pas tidak berhasrat mencampuri urusan parti lain termasuk isu pelantikan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang dilantik sebagai pengerusi perhubungan Umno Terengganu yang baharu.


“Itu urusan dalaman Umno, sudah menjadi tradisi negeri yang kalah akan dilantik pimpinan kanan pusat menjadi pengerusi perhubungan.


“Sebagai parti, Pas boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang mengepalai mana-mana parti politik dalam perkara kebajikan dan kepentingan Islam serta rakyat,” katanya.


Mohd Khairuddin berkata demikian ketika dihubungi Sinar Harian bagi mengulas mengenai pengumuman Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai lantikan Ahli Majlis Tertinggi Umno dan Pengerusi setiap negeri, kelmarin.


Ahmad Zahid dalam satu kenyataan berkata, lantikan yang dibuat itu merupakan langkah pertama parti berkenaan menuju pembaharuan agar terus relevan dalam pentas politik tanah air.


Akhbar hari ini melaporkan bekas menteri pendidikan yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno, Mahdzir sebagai pengerusi badan perhubungan Umno Terengganu yang baharu menggantikan Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.


Ahmad Razif yang juga bekas menteri besar mula dilantik sebagai pengerusi Umno Terengganu pada tahun 2014.

 


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]