PKR Johor sokong keputusan Anwar bertanding presiden

in Politik by


JOHOR BAHRU – Keputusan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu bertanding jawatan presiden dalam pemilihan parti yang akan datang mendapat sokongan penuh PKR Johor.


Pengerusinya, Hassan Abdul Karim berkata, beliau melihat pemimpin itu merupakan calon yang sesuai untuk menggalas tanggungjawab tersebut berdasarkan pengaruh, keupayaan serta pengalaman yang dimilikinya.


“Kita memberi sokongan penuh, banyak kebaikan yang kita dapat lihat sekiranya beliau dilantik menjadi presiden kali ini. Tambahan pula, beliau juga merupakan ketua umum parti malah mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang politik mahupun pentadbiran negara.


“Jadi sesuai benar bila beliau sudah bersedia untuk dicalonkan sebagai presiden. Lagi satu, Pakatan Harapan (Harapan) sebelum ini pun telah memberi janji yang Anwar akan menjadi perdana menteri selepas Tun Mahathir.


“Untuk itu, beliau memang sesuai untuk mewakili PKR sebagai presiden jawatan yang dipertandingkan oleh anggota secara demokrasi. Bagaimanapun ini adalah perkara dalaman, tetapi saya yakin ia mampu diselesaikan melalui cara betul,” katanya.


Hassan berkata, parti melihat Anwar telah banyak berkorban untuk kelangsungan parti selama ini dengan pelbagai sumbangan selain peranannya sebagai penggerak agenda reformasi yang ingin dinaikkan PKR.


“Beliau mempunyai peranan tersendiri, membantu dalam pelbagai aspek dalam perjuangan parti. Kita tiada masalah mengenai perkara itu dan akan memberi sokongan,” katanya.


Pada masa sama, mengulas mengenai penerimaan ahli berkenaan status Anwar yang kini bukan sebagai wakil rakyat atau pemegang jawatan dalam Kabinet, Hassan berkata, perkara itu bukan sesuatu yang rumit dan perlu diambil kira.


“Itu tiada masalah, tiada jawatan dalam Kabinet bukan puncanya. Beliau memang dikenali, sekarang semua itu adalah urusan parti. Kita yakin sekiranya boleh bertanding pada waktu yang sesuai, sampai masanya beliau akan bertanding semula sebagai ahli Parlimen,” katanya.

 


Source: SH Politik

[featured-video-plus]