PKR Kelantan harap Anwar, Azmin tidak dicabar

in Politik by


KOTA BHARU – PKR Kelantan mencadangkan jawatan timbalan presiden parti itu tidak dipertandingkan dan keputusan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu bertanding jawatan presiden tidak dicabar mana-mana pemimpin lain.


Pengerusinya, Ab Aziz Ab Kadir berkata, dua jawatan penting iaitu presiden dan timbalan presiden tidak perlu dipertandingkan kerana lebih menjamin perpaduan sesama anggota dan tidak mewujudkan sebarang perpecahan.


“Gandingan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai presiden dan Datuk Seri Azmin Ali sebagai timbalan presiden adalah satu gandingan yang cukup padu untuk memandu parti dan pastinya diterima baik majoriti anggota parti seluruh negara.


“Mereka adalah individu yang paling layak buat masa ini untuk memimpin PKR,” katanya melalui satu kenyataan di sini.


Terdahulu, Ketua Umum PKR itu mengumumkan akan bertanding jawatan presiden pada pemilihan parti akan datang dan Anwar memberitahu, keputusan itu dibuat selepas berbincang dengan kepimpinan parti serta mengambil kira segenap sudut demi kelangsungan PKR pada masa hadapan.


Ab Aziz berkata, dalam masa yang sama, pihaknya menyambut baik dan menyokong sepenuhnya keputusan Anwar untuk menawarkan diri bertanding jawatan presiden dan ia adalah satu keputusan yang baik di saat pemerkasaan parti diperlukan selepas gabungan parti pembangkang berjaya menguasai Kerajaan Persekutuan.


Menurutnya, Anwar perlu berada dalam barisan kepimpinan yang digariskan dalam perlembagaan parti kerana jawatan ketua umum tiada dalam hierarki kepartian.


“Beliau perlu berada di jawatan yang paling tinggi untuk mengemudi parti dan gabungan Pakatan Harapan itu sendiri. Pun begitu bukanlah kepimpinan presiden sekarang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak diperlukan, tetapi sudah tiba masanya Datuk Seri Anwar diberikan tempat yang sewajarnya di dalam posisi pentadbiran,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]