Unit IT komited pastikan sistem operasi berjalan lancar

in Nasional by


MADINAH – ARAB SAUDI. Unit teknologi maklumat (IT) Tabung Haji untuk operasi haji 1439H komited dalam memastikan perjalanan operasi berkaitan IT berada pada tahap optimum dalam usaha memastikan petugas haji dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada para jemaah.


Pengarah Operasi Tabung Haji Bahagian IT Hanizam Hanif berkata unit itu telah selesai menjalankan kerja-kerja naik taraf sistem teknologi bagi operasi Tabung Haji di Madinah dan Makkah untuk tahun ini bagi  memberikan  perkhidmatan yang lebih baik kepada jemaah berbanding tahun lalu.


“Perkhidmatan IT merupakan nadi perkhidmatan operasi haji yang diberikan oleh Tabung Haji pada setiap musim. Antara perkhidmatan yang diberikan ialah penyediaan infrastruktur, sistem-sistem serta aplikasi-aplikasi Tabung Haji di sini.


“Persediaan awal yang telah pihak IT lakukan semenjak tiba pada 2 Julai yang lalu ialah memastikan infrastruktur dan aplikasi sistem dapat berfungsi dengan baik apabila digunakan untuk petugas kelak,” katanya semasa ditemui media, di sini pada Ahad.


Pasukan IT Tabung Haji pada musim ini merangkumi 18 petugas dan pakar IT  dari pelbagai sektor IT dengan seorang ditempatkan di Jeddah, dua  di Madinah dan selebihnya ditempatkan di Makkah.


Beliau  berkata pihak IT telah melakukan beberapa penambahbaikan dari segi infrastruktur dan sistem perkhidmatan yang dilaksanakan sejak berakhirnya musim haji tahun lepas.


“Antara penambahbaikan yang telah dilakukan ialah menaik taraf infrastruktur dan talian rangkaian di beberapa bangunan utama bangunan Tabung Haji (Madinah dan Makkah) seperti ibu pejabat kita di Makkah, Bangunan Abraj Al-Janadriyah, Hospital Mubarak (Makkah), bangunan operasi di Madinah dan juga Jeddah,” katanya.


Dalam usaha menawarkan rangkaian Internet yang lebih baik, Hanizam berkata bahagian IT dengan kerjasama Tabung Haji Jeddah telah mempelbagaikan rangkaian pembekal telekomunikasi seperti STC, Mobily dan Zain.


“Tujuan penambahbaikan ini adalah untuk memastikan capaian-capaian kepada sistem perkhidmatan dan data-data jemaah haji dapat dilakukan dengan pantas dan mengelak sebarang gangguan sepanjang operasi haji pada musim ini,” katanya. -Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]