Yusri enggan mengaku kalah

in Sukan by


PEMANGKU jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah menegaskan dia tidak akan mengaku kalah walaupun peluang pasukannya semakin tipis untuk kekal dalam saingan Liga Super musim depan.


Yusri berkata, keputusan seri 1-1 dengan Melaka United malam kelmarin menyukarkan misi The Red Warriors selepas pasukan di tangga ke-10 iaitu PKNP FC mula menjarak kedudukan mata.


“Ada atau tidak saya (bersama Kelantan) pada tahun depan itu perkara nombor dua tetapi lebih penting biarlah saya mencipta satu reputasi terbaik di sini untuk Kelantan kekal di Liga Super.


“Biarlah kalau kita dapat kekal sekali pun itu atas keupayaan sendiri. Itu yang saya inginkan walaupun saya nampak pemain agak sedih dengan situasi keputusan pertemuan ini,” katanya dalam sidang media sejurus perlawanan.


Pada aksi di Kota Bharu, tuan rumah mendahului seawal minit ke-11 menerusi Shafiq Shaharudin namun hasrat mereka meraih tiga mata lebur setelah Yahor Zubovich menyempurnakan sepakan penalti, pada masa kecederaan babak kedua.


Dalam masa sama pengendali itu memberitahu, fokus dia kini adalah membina semula keyakinan pasukan dalam mengharungi baki tiga perlawanan terakhir untuk melayakkan diri beraksi dalam kempen Piala Malaysia.


“Saya tak mahu mengambil jalan mudah mengatakan kita selamat ke Piala Malaysia kerana itu bukan sasaran saya. Kekal di Liga Super sebenarnya yang saya mahukan,” katanya.


Dalam pada itu, Yusri turut meluahkan kekecewaan di sebalik keputusan seri namun dia pasrah rezeki pasukannya untuk mencatatkan kemenangan dinafikan skuad kendalian E Elavarasan.


“Saya orang paling kecewa malam ini (kelmarin) kerana tiga mata dalam genggaman dilepaskan begitu sahaja. Begitu perit untuk saya terima keputusan ini tetapi kredit juga kepada pemain saya.


“Walaupun pemain tidak beraksi baik namun disiplin mereka sepanjang 90 minit itu berjaya menutup ruang Melaka dan jika anda lihat kita tidak membenarkan walaupun satu peluang pasukan lawan.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]