Aksem patah lebih lapan cubaan seludup ketum tahun lalu

in Edisi by


RANTAU PANJANG – Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) Kelantan berjaya mematahkan lapan kes penyeludupan ketum sebanyak 1,450.5 kilogram, tahun lalu.


Komander Aksem Kelantan, Rusli Karim berkata, kejayaan itu hasil operasi dan ketangkasan anggota dalam mematahkan taktik yang digunakan penjenayah.


Menurutnya, rampasan ketum itu boleh mencecah sehingga RM92,450 dan ia merupakan salah satu kejayaan dalam memperkasakan peranan Aksem di sempadan.


“Jumlah itu meningkat berbanding 300kg daun ketum atau bernilai RM24,000 sepanjang 2016 lalu.


“Manakala pada 2015, kita berjaya merampas 965kg ketum bernilai RM25,600,” katanya.


Bagi lima bulan pertama tahun ini, Rusli berkata, pihaknya mematahkan cubaan menyeludup ketum ke sempadan sebanyak 124.5kg.


Katanya, kebiasaannya ketum yang diseludup dalam bentuk daun dan belum diproses.


Terdahulu beliau ditemui semasa program gotong-royong di Kampung Gual To’ Deh, semalam.


Seramai 100 anggota Aksem seluruh Kelantan membersihkan tanah perkuburan bersama anggota Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, anggota sukarela Kawasan Rukun Tetangga (KRT) To’ Deh Tersang, jawatankuasa masjid dan penduduk kampung.


Hadir sama, Penyelaras Program, Komander Aksem Rantau Panjang, Shuhaidi Saidon dan Timbalan Komander Kawasan Aksem Rantau Panjang, Alias Ghazali.


Rusli berkata, ini adalah salah satu khidmat bakti Aksem untuk masyarakat, selaras dengan misi kerajaan dalam menjamin keselamatan sempadan bersama rakyat.


“Rantau Panjang merupakan lokasi ketiga program ini yang mana sebelum ini kita tumpu di Setiu, Terengganu dan Gua Musang.  


“Lepas ini kita akan buat di Pengkalan Kubor, Tumpat, Bukit Bunga Jeli dan sekitar Kota Bharu,” katanya.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]