Amanah sokong batal empat projek IPP

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Pemuda Amanah menyambut baik cadangan kerajaan membatalkan empat projek baru melibatkan perjanjian Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) yang diluluskan kerajaan terdahulu.


Timbalan Ketua Pemudanya, Muhammad Faiz Fadzil dalam satu kenyataan berkata, kenyataan Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin itu sejajar dengan desakan Pemuda Amanah pada 3 Julai lepas yang menggesa kerajaan menyemak semula semua PPA.


Menurutnya, beliau berpendapat semakan semula perjanjian Pembelian Kuasa Elektrik (PPA) secara holistik akan menjanjikan penjimatan yang bermakna dan signifikan kepada rakyat.


“Pemuda Amanah juga menyambut baik keputusan kerajaan untuk menyemak semula PPA yang telah diberikan oleh kerajaan BN kepada syarikat-syarikat tertentu, tanpa proses bidaan yang terbuka.


[ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan akan batalkan empat kontrak IPP]


“Ia hanya menguntungkan pembekal-pembekal kuasa elektrik bebas. Langkah kerajaan ini diharapkan dapat mengurangkan caj elektrik yang begitu membebankan rakyat.


“Tindakan ini juga memberikan mesej kepada semua pihak bahawa Pakatan Harapan akan terus berpegang pada janjinya untuk mentadbir negara ini berlandaskan elemen keterbukaan dan tidak berat sebelah,” katanya.


Tambah Adun Permatang Pasir ini, beliau yakin semakan semula terhadap perjanjian berkenaan bukannya bertujuan untuk menghukum pihak-pihak tertentu atas sebab politik.


“Pemuda Amanah percaya bahawa semakan semula semua PPA ini akan dibuat dengan adil dan telus. Apa-apa perjanjian yang tidak menguntungkan rakyat harus disemak semula sepertimana yang dijanjikan Pakatan Harapan sebelum ini.


“Seperti yang telah ditegaskan sebelum ini, diharapkan juga kerajaan dapat menilai semula “costs & benefits” di sebalik pemilikan sesetengah aset jana kuasa elektrik negara oleh pihak asing seperti Edra Power Holdings Sdn Bhd.


“Penilaian ini penting untuk memastikan keselamatan negara terjamin. Kami berharap agar penilaian “costs & benefits” Edra dan juga sebab-sebab pembatalan PPA akan dibentangkan secara terbuka untuk tatapan umum,” ujarnya.


Baru-baru ini, Bee Yin memaklumkan empat kontrak baru IPP akan disemak semula untuk memastikan daya maju serta kos yang terbabit, tanpa sebarang kesan teknikal, kewangan dan undang-undang.


Katanya, kementerian juga mengkaji cara untuk meningkatkan daya saing dalam kalangan pemain industri untuk menjana kuasa bagi mengawal kos elektrik di negara ini.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]