Fama sedia 10,000 tan metrik buahan tempatan

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) negeri akan menganjurkan Jualan Anak Beranak yang menyediakan 10,000 tan metrik pelbagai jenis buahan tempatan di perkarangan pejabat Fama negeri berhampiran Waterfront, Pulau Kambing, Khamis ini, 19 Julai 2018.


Pengarah Fama negeri, Fauzi Mohamed berkata, jualan akan mula dibuka jam 9 pagi hingga 7 petang dan antara buah-buahan yang boleh didapati di jualan berkenaan seperti durian, rambutan, manggis, cempedak, jagung, salak dan labu.


Menurutnya, buah-buahan itu dibeli dari ladang dan dijual pada harga lebih murah berbanding harga runcit di pasaran Terengganu bagi memastikan semua rakyat Terengganu khasnya penduduk di sekitar Kuala Terengganu dan daerah berdekatan dapat menikmati buah-buahan bermusim.


“Kita dapatkan bekalan dari empat negeri seperti Kelantan, Pahang, Kedah dan Terengganu sendiri dengan harga ladang sebab itu kita akan jual pada harga lebih rendah daripada harga runcit di pasaran, malah dalam masa sama mahu memperkenalkan pejabat Fama negeri kerana kebanyakan masyarakat kurang tahu pejabat kami.


“Tahun ini musim buah berlaku serentak dan agak panjang, mungkin akan ada lambakan nanti, cuma sekarang ini lambakan masih belum berlaku malah sedang berjalan seperti biasa terutama buah durian kerana sudah dua tahun ia agak sepi tetapi tahun ini banyak menjadi tetapi dijangka durian tidak akan berlaku lambakan berbanding buahan lain seperti rambutan dan manggis.


Beliau berkata demikian kepada pemberita yang ditemui sempena Majlis Silaturahim Pasar Tani Padang Hiliran di tapak Pasar Tani Padang Hiliran, di sini.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]