Keluarga lega Zainab ditemui

in Edisi Utara by


SIK – Keluarga kepada Zainab Ahmad, 31, yang hilang mengikut teman lelaki pada 22 Jun lalu lega apabila wanita itu ditemui di Kelantan, semalam.


Abang Zainab, A Puad Ahmad berkata, adiknya itu ditemui bersama lelaki berkenaan di sebuah rumah kongsi dalam kawasan hutan jam 6.30 petang.


Menurutnya, lelaki tersebut cuba melarikan diri namun berjaya ditahan.


“Zainab berjaya ditemui adik dan ahli keluarga lain dengan bantuan polis Kelantan. Rumah kongsi itu berhampiran kilang kayu tempatnya bekerja.


“Waktu ditemui adik masih terkejut dan menangis. Lelaki itu juga sudah ditahan polis Kelantan,” katanya kepada Sinar Harian.


Tambahnya, lebih membimbangkan keluarganya sebelum ini apabila mengetahui lelaki itu di bawah pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).


Katanya, ibunya, Faridah Abdul Rahman, 64, insan paling trauma selama kehilangan Zainab.


“Sebelum ini mak jatuh dalam kebun getah mungkin sebab terlalu fikirkan anak dia.


“Saya ada berjanji untuk cari Zainab dan lelaki tu. Alhamdulillah janji tu dapat ditunaikan,” katanya.


A Puad berkata, ada masyarakat Kelantan beranggapan kedua pasangan itu telah berkahwin.


“Bila orang tanya, depa kata dah kahwin, tapi bila kisah mereka disiarkan Sinar Harian barulah masyarakat tahu cerita sebenar,” katanya.


Sinar Harian pada 14 Julai lalu melaporkan lokasi terakhir janda anak tiga dari Kampung Jering itu ialah di sebuah stesen minyak pekan Sik.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]