MP termuda gemuruh hadir Sidang Dewan Rakyat, lupa sarapan

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Menghadiri Sidang Dewan Rakyat pengalaman baharu buat Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran dan beliau berusia 22 tahun ketika dipilih rakyat pada 9 Mei lalu.


Hari pertama ke Parlimen membuatkan beliau begitu teruja hingga tidak lena tidur semalaman dan terlupa untuk bersarapan, semalam.


Prabakaran yang ditemani ibu bapanya datang dengan menumpang kenderaan sahabat baiknya, tiba awal di Parlimen.


“Saya datang tumpang kawan sebab tak ada kereta. Tadi saya sempat baca buku peraturan Dewan Rakyat dan berbincang dengan ahli Parlimen lain,” katanya.


Beliau yang masih menuntut di sebuah kolej  di Kuala Lumpur dalam bidang perundangan mengakui gemuruh, namun selepas mengangkat sumpah di depan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, beliau berasa lebih yakin untuk menggalas tanggungjawab.


“Saya tak sabar nak berbahas dan membentangkan usul di Parlimen, saya dah lama bersedia untuk itu,” katanya.


Dari sisi lain, Prabakaran mengakui sedikit canggung apabila ada kawan rapatnya memanggil beliau dengan panggilan ‘YB’.


“Rasa kelakar sebab kami dah kawan sejak 10, 15 tahun, tapi terpaksalah terima hakikat saya kini memang Yang Berhormat (YB).


“Setakat ini belum ada pensyarah di kolej panggil saya YB, tak naklah, saya mahasiswa di sana. Kalau nak panggil juga, kena tukar jadi ‘young’ berhormat,” selorohnya.


Ditanya mengenai kekecohan di pembukaan Dewan Rakyat semalam, beliau menganggap insiden itu tidak wajar berlaku.


“Ia tidak sepatutnya berlaku dan sebagai ahli Parlimen termuda, saya kena bagi contoh kepada generasi akan datang,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]