Muar berpotensi dibangunkan sebagai hab pertanian

in Edisi Johor by


PAGOH – Kekayaan pelbagai sumber alam semula jadi yang terdapat dalam daerah ini diyakini berpotensi untuk dikomersialkan sebagai hab pertanian kelak.


Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub berkata, kesuburan pelbagai jenis tanaman herba dan buah-buahan serta keluasan tanah di Muar menjadikan sektor berkenaan berupaya untuk dibangunkan lagi.


Menurutnya, pihaknya akan melihat secara lebih spesifik sektor yang terdapat di daerah itu agar satu pelan tindakan khas dapat diwujudkan bagi merealisasikan usaha itu.


“Saya dapati tumbuhan herba telah membuktikan potensinya. Kita boleh rujuk pada ladang herba dan kilang yang dikunjungi.


“Selain itu, potensi durian yang pelbagai serta kesuburan kelapa matag mendorong daerah ini untuk diwujudkan hab pertanian. Apatah lagi Muar daerah besar yang memang banyak potensi dan tanah-tanah untuk diusahakan bagi tujuan pertanian yang masih luas,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas melawat Ladang Rempah Ratus Dan Herba Nasuha di sini, semalam.


Hadir sama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Muar (MPM), Mustaffa Kamal Shamsudin; Pengarah Perikanan Johor, Zamani Omar dan Pemilik Ladang Rempah Ratus dan Herba Nasuha, Nasuha Kasian.


Terdahulu, Salahuddin diberi taklimat berkaitan isu, potensi dan hala tuju sektor pertanian di Muar oleh Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.


Beliau turut dibawa melawat Ladang Rempah Ratus dan Herba Nasuha berkeluasan 1,295 hektar yang menempatkan kira-kira 6,000 spesies herba dan rempah ratus dari seluruh dunia.


“Misalnya, saya juga sempat melawat institut pertanian di Jorak dan melihat sendiri potensi pembenihan kelapa matag yang mendapat sambutan luar biasa daripada masyarakat untuk menceburi bidang ini.


“Jadi saya akan lihat dengan teliti semua potensi-potensi ini dan akan wujudkan pendekatan urus tadbir di jabatan berkaitan yang lebih terurus, cekap supaya kita dapat bangunkan industri yang sedang mendapat permintaan luar biasa daripada orang ramai,” katanya.


Katanya, kementerian juga pada masa sama akan melihat insentif-insentif dan galakan bersesuaian kepada pengusaha pertanian untuk bersama-sama memajukan lagi sektor itu.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]