Pasang Lampu LED seluruh Pulau Pinang

in Edisi Utara by


GEORGETOWN – Bagi tujuan naik taraf, kerajaan Pulau Pinang akan memasang 90,853 buah lampu jalan jenis diod pemancar cahaya (LED) bagi seluruh negeri ini menjelang tahun 2020.


Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, jumlah itu melebihi dari janji kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) dalam manifesto PRU14 lalu iaitu 20,000 buah lampu LED.


Menurutnya, dari jumlah tersebut, 33,198 LED akan dipasang di bahagian pulau dan 57,655 di kawasan seberang bermula bulan ini. Selain menggantikan lampu sedia ada, penggunaan lampu LED itu juga mampu menjimatkan kos utiliti negeri.


“Pertukaran lampu biasa ke LED ini akan dibuat oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB). Di bahagian pulau, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sedang menyelenggarakan 16,636 lampu jalan yang mana, 7,135 telah siap ditukar ke LED. Bakinya, 9,501 dijangka siap pada Mei tahun depan.


“Sementara itu, TNB telah menukar 3,450 buah LED pada tahun ini dan 8,280 pada tahun hadapan. TNB akan menukar 4,832 buah lampu lagi menjelang 2020 menjadikan jumlah keseluruhan mereka menukar lampu di bahagian pulau adalah 16,562 buah,” katanya kepada media tadi.


Jagdeep berkata, TNB akan menukar kesemua lampu berjumlah 45,279 di kawasan seberang menjadikan jumlah keseluruhan lampu ditukar adalah 57,655 buah.


“Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) sedang menyelenggara 12,376 buah lampu manakala TNB, 45,279 buah menjadikan jumlah keseluruhan di kawasan seberang, 57,655 buah lampu. Ia dijangka akan siap ditukar ke LED menjelang 2020,” katanya.


Jelasnya, dengan pemasangan lampu LED tersebut, Kerajaan Pulau Pinang mampu berjimat sehingga 60 peratus dalam pembayaran bil elektrik setahun.


“Tahun lalu, MBPP membayar RM6 juta bil elektrik untuk lampu jalan manakala MPSP membayar RM7 juta,” katanya.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]