Pejabat Tanah Tangkak mula operasi

in Edisi Johor by


TANGKAK – Pejabat Tanah Daerah Tangkak mula beroperasi hari ini selepas mengalami kebakaran di beberapa bahagian di aras bawah, semalam.


Pengarah Tanah dan Galian Johor, Mohd Halim Hasbullah berkata, operasi di pejabat berkenaan dibuka seperti biasa, namun dua bahagian iaitu Pendaftaran serta bahagian Pembangunan dan Pelupusan dibuka sementara di aras dua pejabat tersebut.


“Berikutan kebakaran yang berlaku di aras bawah sehingga menjejaskan tiga bahagian Ahad lalu, Pejabat Tanah Daerah mengalami kesulitan untuk beroperasi pada hari berkenaan. Bagaimanapun, selepas keadaan stabil, ia dah kembali dibuka seperti biasa hari ini.


“Buat masa ini, pihak kami masih menunggu laporan siasatan mengenai punca kebakaran dan jumlah kerugian termasuk taksiran kerosakan,” katanya.


Tambah beliau, meskipun kebakaran itu menjejaskan beberapa bahagian di aras bawah, namun bilik kebal yang menempatkan kesemua dokumen hak milik berjumlah 52,757 hak milik pejabat tanah daerah tidak terlibat.


“Dalam masa sama, kita juga berasa sedikit lega berikutan kebakaran ini tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa,” katanya.


Terdahulu, beliau bersama timbalannya, Jamaludin A Hamid turut meninjau keadaan pejabat tanah yang dilaporkan terbakar pagi Ahad itu.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]