Sesak nafas sedut habuk

in Edisi Selangor KL by


RAWANG – Penduduk di Taman Garing Jaya meluahkan kegusaran apabila keadaan persekitaran kawasan tersebut sering kali dicemari dengan habuk khususnya pada waktu malam.


Difahamkan, keadaan itu berlaku berikutan daripada kilang simen berhampiran kawasan terbabit yang didakwa melepaskan habuk berkenaan pada waktu malam.


Ahli Jawatankuasa (AJK) Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Garing Jaya, Jasmi Osman berkata, jarak antara kilang berkenaan dengan taman ini hanyalah kira-kira  satu kilometer.


Jasmi berkata, pihaknya telah merujuk perkara itu kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada 22 Jun lalu malah beberapa pegawai telah turun padang membuat tinjauan.


Namun begitu, Jasmi berkata, sehingga kini pihaknya masih belum menerima sebarang maklum balas mengenai status permasalahan tersebut.


“Habuk ini amat menggusarkan penduduk kerana ia mengundang banyak masalah kepada penduduk setempat terutama kesihatan.


“Habuk ini mengotorkan kenderaan dan kawasan kediaman kami,” katanya.


Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Garing Jaya, A. Sumbath berkata, sebelum ini pihaknya bersama AJK KRT dan persatuan penduduk pernah mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan kilang simen berkenaan.


Selain itu, pihak pengurusan kilang simen terbabit juga pernah menjemput AJK KRT dan persatuan penduduk untuk melawat kilang berkenaan bagi melihat sendiri teknologi baharu yang diguna pakai oleh mereka untuk mengurangkan habuk.


“Namun, kami pelik kenapa dengan teknologi yang bernilai RM40 juta ini, keadaan habuk di taman ini masih berlaku khususnya pada waktu malam,” katanya.


Dalam pada itu, Sumbath turut mencadangkan agar JAS dapat meletakkan alat indikator habuk di mana-mana kawasan taman terbabit bagi melihat sejauh mana tahap pencemaran udara yang berlaku di kawasan itu.


Tambahnya, langkah itu dapat membantu JAS mengenal pasti sejauh mana tahap pencemaran yang berlaku bagi mengambil tindakan selanjutnya.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]