Siasat semula kes Nurin Jazlin

in Nasional by


SHAH ALAM – Selepas 10 tahun berlalu, bapa Allahyarham Nurin Jazlin menggesa polis meneruskan siasatan kes anaknya.


Jazimin Abdul Jalil, 44, berkata, kemajuan teknologi kini mungkin boleh membantu pihak polis menjalankan siasatan semula terhadap kes Nurin Jazlin yang berlaku pada 2007 itu.


“Saya berharap pihak berkuasa membuka semula kes siasatan anak saya dengan mencari bukti-bukti melalui cap jari dan aspek lain.


“Sekarang negara semakin maju, peralatan semakin canggih. Saya berharap pihak berkuasa dapat menggunakan peralatan canggih untuk kesan siapa yang meletakkan beg mayat anak saya,” katanya selepas program temu bual program Sofa Sinar, baru-baru ini.


Jazimin yang bekerja sebagai pengawal peribadi berkata, dia meletakkan harapan yang tinggi kepada polis dan kerajaan untuk mengesan suspek yang membunuh anaknya.


“Bukan saya seorang atau ibunya tetapi seluruh rakyat Malaysia sedang menunggu jawapan pihak berkuasa untuk tahu siapa pembunuh sebenar Nurin Jazlin,” katanya.


Bapa kepada empat orang anak itu, turut menggesa campur tangan kerajaan agar siasatan anaknya dapat dibuka semula.


“Kalau (Menteri Kewangan) Lim Guan Eng mahu buka kes Teoh Beng Hock, saya berharap kes anak saya dapat dibuka semula demi keadilan arwah dan keluarga saya,” katanya


Jazimin berkata, dia bersedia memberi kerjasama terhadap siasatan kes anaknya itu demi mengenalpasti siapa pembunuh Nurin Jazlin.


Pada 20 Ogos 2007, Nurin Jazlin, 8, hilang selepas keluar ke pasar malam berhampiran rumahnya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.


Usaha pelbagai pihak mencari Nurin di sekitar Kuala Lumpur dan negeri lain gagal menemui kanak-kanak itu.


Namun, selepas 27 hari kehilangannya, negara dikejutkan dengan penemuan mayat seorang kanak-kanak perempuan dalam sebuah beg pakaian yang ditinggalkan di sebuah premis perniagaan di Petaling Jaya.


Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berjaya merakam seorang lelaki menaiki motosikal telah meletakkan beg sukan yang mengandungi mayat kanak-kanak perempuan itu.


Pengecaman mayat telah dilakukan Jazimin sekeluarga namun beliau enggan mengakui mayat kanak-kanak itu adalah anaknya.


Namun, ujian asid deoksiribonukliek (DNA) mengesahkan kanak-kanak yang dibunuh kejam itu adalah Nurin Jazlin.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]