30 hari jadi MB: Beri Amirudin masa…

in Nasional by


SHAH ALAM – Semua pihak perlu memberi peluang kepada Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari bagi membuktikan kemampuan beliau untuk memimpin negeri ini.


Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berkata, dalam tempoh genap 30 hari pemerintahannya hari ini, Amirudin dilihat masih belum membawa sebarang pembaharuan yang besar mahu pun terpalit dengan sebarang isu yang boleh menjejaskan kedudukan beliau.


“Dalam tempoh 30 hari selepas beliau pegang jawatan itu, saya rasa masih terlalu awal untuk kita memberi justifikasi mengenai pencapaian mahupun perkhidmatan beliau.


“Bagi dia peluang dan saya percaya mungkin ada sinar di hadapan,” katanya kepada Sinar Harian.


Agus berkata demikian selepas diminta untuk mengulas mengenai pencapaian Amirudin dalam tempoh 30 hari selepas memegang jawatan Menteri Besar Selangor.


Bercakap lanjut kepada Sinar Harian, Agus berkata, Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis pada 4 Ogos ini juga bukannya merupakan satu cabaran atau tekanan buat Amirudin berikutan Pakatan Harapan (Harapan) telah memperoleh kemenangan solid dengan majoriti dua pertiga dalam PRU14 lalu.


“Tambahan pula, Umno juga sekadar hanya untuk test market sahaja dalam PRK Sungai Kandis kali ini. Jadi ia bukannya merupakan satu cabaran atau tekanan terhadap beliau sebagai menteri besar,” katanya.


Dalam pada itu, Agus memaklumkan bahawa Amirudin merupakan anak muda yang dilihat mampu untuk membawa pembangunan di Selangor bersesuaian dengan tuntutan semasa.


Tambah beliau, Amirudin dapat memperjuangkan isu-isu anak muda melibatkan aspek perumahan, pekerjaan, keselamatan hidup, kos sara hidup dan lain-lain lagi.


“Beliau juga pernah berada dalam kepimpinan Exco Kerajaan Selangor dan turut mempunyai pengalaman. Cuma dari segi isu mahu pun pembaharuan, ia masih terlalu awal,”katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]