‘Air mencurah dari tebing’

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Masalah hakisan tanah dan kemungkinan berlaku tanah runtuh menimbulkan kerisauan dalam kalangan penduduk rumah teres di Jalan Harmoni 2/1, Taman Desa Harmoni, di sini.  


Kegusaran yang bermain di minda penduduk sejak setahun lalu itu dipercayai berpunca daripada kerosakan lubang kumbahan yang mengakibatkan berlakunya limpahan air kumbahan di belakang kawasan rumah penduduk.  


Pengerusi persatuan penduduk, Wong Boon Huei berkata, sebelum masalah itu berlarutan dengan lebih serius, penduduk juga terpaksa berdepan dengan masalah bau busuk akibat air najis yang tidak diselenggarakan dengan baik.  


Bagaimanapun, katanya, perkara itu diatasi pada Ramadan lalu tapi kesan ditinggalkan sejak empat tahun itu menimbulkan masalah baharu kepada penduduk.  


“Masalah lubang kumbahan ini bagaimanapun selesai apabila ia dibaiki Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dua bulan lalu.  


“Namun, air kumbahan berkenaan telah menyebabkan jalan tar di sini mendap selebar kira-kira 25 meter hingga menyebabkan tebing setinggi tiga meter yang terletak di bahagian belakang rumah penduduk terhakis dan runtuh sedikit demi sedikit,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.  


Boon Huei berkata, pihaknya juga mengajukan masalah tersebut kepada beberapa pihak yang bertanggungjawab, namun sehingga kini masih belum ada sebarang tindakan lanjut dilakukan.  


“Pernah satu cadangan dikemukakan bagi memperbaiki kerosakan jalan dan tebing, namun selepas setahun berlalu kontraktor berkenaan gagal mengemukakan nilai kos pembaikannya,” katanya.  


Sementara itu, 10 keluarga daripada dua rumah yang terletak di bahagian bawah tebing turut bimbang struktur berkenaan runtuh terutama ketika hujan lebat.  


Seorang penyewa di kawasan itu, Hasanah Jali, 47, berkata, antara paling teruk dilalui keluarganya akibat masalah itu adalah limpahan air masuk ke rumahnya.  


“Saya dah tinggal di sini sejak 25 tahun lepas tapi kebelakangan ini masalah jadi lebih serius bila setiap kali hujan lebat air mencurah-curah dari tebing, dah macam air terjun.  


“Saya harap pihak yang berwajib dapat membaiki masalah hakisan dan tebing runtuh ini dengan segera, jangan sampai berlaku kejadian tidak diingini daripada berlaku barulah tindakan mahu diambil,” katanya.  


Sementara itu, Pengerusi Amanah Kawasan Pasir Gudang merangkap Pengerusi Pusat Aduan negeri, Syed Othman Syed Abdullah berkata, pihaknya akan merujuk isu dibangkitkan penduduk itu kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi tujuan penyelesaian.


“Kami juga akan menghantar beberapa surat kepada pihak berkepentingan, selain Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]