Beri peluang, berlaku adil

in Edisi Johor by


Kerajaan Johor pimpinan kerajaan Pakatan Harapan menyasarkan untuk memenuhi kesemua manifestonya sebelum tamat 100 hari. 


Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, sehingga kini sebanyak 85 peratus daripada manifesto berkenaan dalam peringkat pelaksanaan dan siap perancangan.


“Antara janji tersebut ialah pemberian 10 meter padu air secara percuma, pemberian Kad Sihat Johor iaitu kad kesihatan eksklusif bernilai RM800 setahun dan pemberian insentif bernilai RM1,500 kepada anak-anak bagi melanjutkan pelajaran peringkat tinggi untuk berpendapatan rendah (B40),” katanya ketika berucap pada Majlis  Makan Malam  Majlis Penyelaras  Gabungan NGO Melayu Negeri Johor (Gabung) bersama Menteri Besar Johor, di sini, kelmarin. 


Osman  berkata, manifesto lain ialah penghapusan bayaran lesen penjaja dan peniaga di seluruh negeri Johor serta bantuan perumahan kepada rakyat yang menetap di rumah-rumah pangsa kerajaan.


Katanya, Kerajaan Johor juga telah menghapuskan Kuota Menegakkan Kerajaan (KMK) yang diamalkan oleh kerajaan sebelum ini bagi memberi ruang kepada rakyat memiliki rumah idaman mereka.


“Sebelum ini di bawah KMK, 30 peratus rumah mampu milik akan diberikan keutamaan kepada penyokong-penyokong parti politik tetapi kita telah hapuskan perkara ini untuk memberikan peluang yang sama rata kepada rakyat kita untuk memiliki kediaman.


“Pelaksanaan tender terbuka oleh Kerajaan Harapan Johor juga telah membawa banyak perubahan kepada kontraktor tempatan. Kalau dahulu kita perlu ada kabel untuk dapat kontrak tetapi hari ini tidak lagi,” katanya.


Sehubungan itu, beliau meminta rakyat agar berlaku adil dan memberi peluang kepada kerajaan untuk melakukan dan melaksanakan kerja-kerja tersebut.


“Saya tahu ramai rakyat yang telah mula hilang sabar, ada yang mula cakap kita tidak buat kerja.


“Rakyat perlu ingat, kita baru sahaja dua bulan memerintah negeri ini, jadi berilah peluang,” katanya. – Bernama


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]