Buang semua video dan gambar pondan mereka: PU Amin

in Hiburan by
PU AMIN DAN SAFIEY. -FOTO : FACEBOOK PU AMIN

Buang semua video dan gambar pondan mereka: PU Amin


PENDAKWAH muda, Pencetus Ummah (PU) Amin menegaskan dia tidak akan berdiam diri sekiranya usahawan kosmetik, Safiey Illias tidak memadam video dan gambarnya berpakaian perempuan di media sosial.


Menurut pemilik nama sebenar Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim, 28, menerusi posting di akaun Facebook dan Instagram miliknya, permohonan maaf yang di buat Safiey malam tadi tidak akan menutup mulutnya dan dia akan terus menentang kelakuan kurang sopan Safiey mahupun mana-mana golongan transgender.


“Selagi kenyataan maaf tidak diikuti dengan membuang semua video dan gambar pondan mereka. Ini bermakna mereka hanya bermain main dengan kenyataan maaf itu .


“Saya akan bersangka baik dan akan menyantuni mereka dengan hikmah andai mereka serius buat tiga tuntutan kita,” tulisnya di Instagram.


Menerusi posting sebelum ini, PU Amin meletakkan tiga tuntutan yang perlu dipenuhi Safiey atau nama sebenarnya  Saifuddin Illias adalah pertama; memohon maaf kepada seluruh umat Islam, kedua; berazam tidak akan mengulangi dan menasihati rakan rakan lain untuk tidak menggunakan kaedah dan gaya hidup transgender dalam apa jua bentuk promosi bisnes atau saja-saja serta ketiga; memadam semua gambar dan video berpakaian wanita di media sosial.


Bagaimanapun sehingga kini, Safiey masih belum membuat perkara ketiga dan PU Amin menganggap lelaki berusia 24 tahun itu hanya main-main.


“Saya dah kena sekat dengan Safiey, jadi saya tak dapat tengok Instagram dia sekarang.


“Saya harap tuntutan kita yang ketiga untuk dia padam video dan gambar pondan telah dilaksanakan.


“Barulah kita menerima dan faham kenyataan maaf itu,” katanya menerusi posting yang dimuat naik pada Selasa.


Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan usahawan kosmetik tersebut tampil membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung video kontroversi membabitkan dirinya yang tular di media sosial.


Safiey berkata, beliau memohon maaf kepada pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung, terutama pengikut laman sosialnya yang beragama Islam dan seluruh rakyat Malaysia.


Malah dia turut berjanji untuk tidak mengulangi perbuatannya yang mengganggu sensitiviti masyarakat dan mencemarkan agama Islam.


Kontroversi yang mengaitkan Safiey dan PU Amin timbul selepas beberapa video pengasas produk kecantikan itu tular di media sosial.


Dan kemuncaknya Sabtu lalu, sebuah acara yang dianjurkan Safiey dikritik hebat kerana menampilkan aksi kurang sopan pada majlis terbuka Aidilfitri anjuran Safiey yang dihadiri kira-kira 200 anak yatim dan pelajar tahfiz pada sebelah petang.


Source: SH Hiburan 1

[featured-video-plus]