Bunyi bising itu rupanya…

in Edisi Utara by


SIK -Seorang pemilik bengkel pemprosesan ayam di Kampung Langguk Kuala Jeneri terjaga daripada tidur selepas dikejutkan bunyi bising ayamnya di bengkel tersebut, pagi tadi. Setelah tinjauan dilakukan, dia mendapati seekor ular sawa batik berada di dalam bengkel tersebut dan terus menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM).


Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM), Kapten (PA) Mohd Mukhriz Md Sabir berkata, pihaknya bergegas ke lokasi setelah menerima panggilan pada jam 6.00 pagi.


“Setibanya ke lokasi jam 6.30 pagi, ular itu didapati berada atas alang bengkel. Anggota APM hampir gagal menangkap ular berkenaan atas faktor ketinggian namun berjaya menjerutnya selepas 10 minit bertungkus lumus,” katanya.


Beliau berkata, ular tersebut dipercayai kelaparan dan mencari mangsa di bengkel pemprosesan ayam itu.


“Ini ialah kes kelapan melibatkan tangkapan ular di daerah Sik bulan ini. Manakala bagi kes mulai Januari hingga Julai jumlah tangkapan ular ialah sebanyak 138 kes,” katanya.


Sebarang kes kecemasan, orang ramai boleh menghubungi APM Sik di talian 04-469 8221.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]