Hans Isaac cabar diri menyanyi di konsert

in Hiburan by
Datuk Hans Isaac, Datuk Afdlin menyanyi. -FOTO: Cipot Redzuan

Hans Isaac cabar diri menyanyi di konsert


ANAK seni versatile, Datuk Hans Isaac mengakui ramai yang memberi reaksi terkejut apabila mendapat tahu, dia bakal tampil dalam Baik Punya Consert 4D di Panggung Sari, Istana Budaya pada 26-28 Julai depan.


Meskipun penampilannya tidak secara solo, sebaliknya bersama tiga lagi sahabat baiknya, Datuk Awie, Datuk Afdlin Shauki dan Datuk AC Mizal, namun ramai yang terkejut dengan keberaniannya untuk turut sama terlibat dalam konsert gah tersebut.


Apatah lagi Hans dilihat tidak mempunyai kelebihan dari segi pengalaman dalam bidang nyanyian berbanding mereka yang lain, sekali gus meletakkan dirinya sebagai titik tumpu.


“Memang semua orang di luar sana tahu, berbanding Awie, Afdlin dan AC yang pernah merakamkan album dan membuat persembahan di konsert, saya pula hanya menyanyi ketika melakukan persembahan muzikal sahaja.


“Meskipun sedar tidak mempunyai kelebihan seperti mereka dalam  bidang nyanyian, namun saya tekad mencabar diri untuk melakukan sesuatu yang saya tidak pernah buat dalam industri sebelum ini iaitu menyanyi dalam sebuah konsert.


“Macam-macam yang saya dah buat sebelum ini, jadi kenapa tidak saya mencuba sesuatu yang baharu dengan menguji bakat saya nyanyian dengan bergabung satu pentas bersama sahabat-sahabat baik saya sendiri,” ujarnya yang ditemui di majlis pelancaran Baik Punya Concert 4D baru-baru ini.


Teruja dengan konsert yang disifatkan cukup istimewa itu, Hans mendedahkan dia telah memulakan latihan lebih awal berbanding-rakan-rakannya yang lain kerana menyedari dirinya agak lemah dalam nyanyian dan memerlukan persiapan yang lebih.


Malah kata Hans lagi, dia juga telah mengikuti kelas vokal di bawah bimbingan penyanyi Vince Chong dalam usahanya untuk memberi persembahan terbaik di konsert tersebut.


“Saya tahu mesti penonton akan membandingkan saya dengan mereka bertiga, namun saya tidak kisah kerana bagi saya keberanian untuk mencuba itu lebih penting.


“Malah saya juga mencabar diri sendiri dengan memilih salah sebuah lagu nyanyian Awie yang semua orang tahu susah nak bawa, untuk dipersembahkan pada konsert itu.


“Secara keseluruhannya saya akan menyanyikan empat lagu secara solo selain, dua lagu medley bersama-sama dengan mereka bertiga,” kata Hans.


Bersedia ‘dibahan’ rakan-rakan


Menurut Hans yang juga bertindak sebagai penerbit menerusi syarikat produksi miliknya, Tall Order Sdn Bhd, konsert yang berdurasi hampir dua jam ini, bukan hanya menampilkan nyanyian semata-mata, tetapi juga beberapa segmen lain seperti sketsa, tarian dan sebagainya dalam usaha untuk menjadikan persembahan tersebut lebih variasi.


“Kita tidak mahu penonton datang, tengok kita menyanyi dan selesai. Sebaliknya kami mahu memberikan pengalaman yang berbeza kepada mereka di mana dalam satu konsert, mereka boleh terhibur dalam pelbagai cara.


“Setiap dari kami mempunyai jalan cerita dan kecenderungan yang berbeza dalam kerjaya seni masing-masing sekaligus tampil dengan kelebihan yang berbeza juga.


“Oleh sebab itulah kitakan namakan Baik Punya Concert 4D, iaitu merujuk kepada empat dimensi persembahan berbeza yang akan ditampilkan,” katanya yang meminati muzik rock alternatif ini lagi.


Mengenali sahabat-sahabatnya yang dianggap mempunyai chemistry yang cukup kuat itu, Hans yang semakin kini aktif dengan kerja-kerja belakang tabir ini juga turut menjangkakan dia bakal dijadikan sasaran untuk ‘dibahan’ dalam persembahan berkenaan.


Malah ketika majlis sidang media konsert tersebut baru-baru ini juga, baik Awie, Afdlin mahupun AC Mizal seolah-olah memberi bayangan tentang perkara tersebut apabila sentiasa menjadikan Hans sebagai sasaran lawak mereka.


“Saya cukup faham  dan masak dengan perangai mereka bertiga yang pantang dapat peluang, pasti akan mengenakan saya dalam lawak-lawak mereka.


“Jadi kali ini saya akan pastikan diri saya bersedia secukupnya, untuk menangkis ‘serangan’ mereka terhadap saya dan pastikan mereka pun akan kena ‘bahan’ juga.


“Saya juga bersedia jika mereka kacau saya ketika persembahan nanti, di mana saya berhenti menyanyi dan mulakan balik sehinggalah mereka berhenti memberi gangguan kepada saya,” balas Hans ketawa.


Dalam pada itu, kata Hans, konsert yang dicetuskan daripada filem dan muzikal Baik Punya Cilok ini turut memberikan peluang kepada peminat dan penonton yang hadir untuk bertanyakan soalan secara langsung kepada mereka berempat.


“Kami mahu menjadikan konsert ini berkonsepkan interaktif. Kita bukan hanya menyanyi syok sendiri atas pentas, sebaliknya cuba untuk melibatkan penonton dalam persembahan tersebut.


“Jadi kami turut mengadakan segmen untuk peminat bertanya apa sahaja soalan kepada kami secara terbuka. Tidak kiralah soalan tentang apa pun, kami tidak akan berdolak-dalik sebaliknya cuba memberikan jawapan dengan jujur.


“Ia adalah peluang yang jarang sekali diberikan mana-mana penyanyi ketika persembahan secara langsung dilakukan,” tegas Hans kepada Sinar Harian.


Source: SH Hiburan 1

[featured-video-plus]